FADHLINA (dua dari kanan) ketika hadir Program Kem Generasi Madani Pemimpin Murid SMKA Peringkat Kebangsaan, hari ini. FOTO Azrul Edham
FADHLINA (dua dari kanan) ketika hadir Program Kem Generasi Madani Pemimpin Murid SMKA Peringkat Kebangsaan, hari ini. FOTO Azrul Edham
Mohd Amin Jalil


Seremban: Ibu bapa boleh mengemukakan aduan secara rasmi kepada Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) sekiranya pihak sekolah mengadakan aktiviti luar bilik darjah ketika fenomena El Nino dan cuaca panas melebihi 35 darjah Celsius.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata pihaknya sudah mengeluarkan garis panduan iaitu sebarang aktiviti luar bilik darjah tidak boleh dijalankan sekiranya suhu mencapai 35 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut.

"Garis panduan itu harus diikuti dan dalam masa sama juga kita merujuk Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) dan Kementerian Kesihatan (KKM) dari semasa ke semasa.

"Ia bertujuan mendapatkan pedoman berkaitan isu cuaca (El Nino) ini. Garis panduan itu memang perlu dipatuhi oleh pihak sekolah.

"Bagaimanapun sekiranya ada aduan rasmi daripada ibu bapa, saya mohon untuk dipanjangkan kepada Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) bagi membolehkan tindakan diambil," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Kem Generasi Madani Peringkat Pemimpin Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kebangsaan 2024, di sini, malam ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS), Datuk Dr Roslan Hussin.

Beliau mengulas mengenai rungutan ibu bapa yang mendakwa ada sekolah di Terengganu merancang untuk mengadakan aktiviti merentas desa pada minggu ini.

Bagaimanapun, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) sudah mengingatkan semua sekolah supaya tidak mengadakan sebarang aktiviti luar bilik darjah pada musim panas.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, setakat ini, pihaknya belum menerima sebarang aduan rasmi daripada mana-mana pihak terutama ibu bapa berkaitan perkara berkenaan.

"Kita alu-alukan sebarang aduan dan akan menjalankan siasatan sama ada ia berasas atau sebaliknya," katanya.

Beliau menegaskan, KPM tidak mempunyai halangan untuk terus menangguhkan sebarang aktiviti luar bilik darjah jika fenomena El Nino yang melanda negara ketika ini berterusan.

"KPM akan terus bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk memantau keadaan cuaca dan status kesihatan pelajar," katanya.

Mengenai program berkenaan, Fadhlina berkata, kem berkenaan bertujuan melahirkan pemimpin pelajar yang mempunyai identiti nasional berkonsepkan Malaysia Madani.

"Kem ini ada beberapa pengisian penting bagi membentuk kepemimpinan yang baik dalam kalangan generasi muda selain dilatih dalam aspek patriotisme dan khidmat masyarakat," katanya.

Seramai 256 pelajar dari 61 SMKA seluruh Malaysia menyertai kem yang berlangsung selama tiga hari.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2024 @ 9:48 PM