Oleh Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tidak menghalang aktiviti luar yang dianjurkan di institusi pengajian tinggi (IPT) dalam keadaan cuaca panas ketika ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata kementerian juga tidak mengeluarkan sebarang pekeliling mengenai garis panduan aktiviti luar dalam keadaan cuaca panas melampau yang dialami negara ketika ini.

"Setakat hari ini KPT tiada atau belum keluarkan arahan pekeliling (mengenai garis panduan aktiviti luar dalam cuaca panas di IPT).

"Kebanyakan bilik kuliah di negara kita juga menggunakan penyaman udara. Jadi tidak timbul isu KPT perlu keluarkan arahan atau garis panduan tertentu berhubung aktiviti pelajar IPT dalam keadaan cuaca panas.

"Mungkin jika keadaan cuaca panas semakin melampau, aktiviti luar di IPT akan dinasihatkan ditangguhkan sementara, namun aktiviti lain termasuk kuliah tetap akan berjalan seperti biasa berikutan ia dilaksanakan dalam bangunan.

"Aktiviti sukan bergantung kepada keadaan cuaca semasa apatah lagi aktiviti sukan tidak wajib ke atas semua pelajar IPT. Jadi buat masa ini KPT tiada halangan untuk pelajar melakukan aktiviti luar serta beriadah sehingga cuaca menjadi lebih buruk," katanya kepada pemberita selepas Majlis Mesra Ria Aidilfitri Veteran UMNO Johor di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Khamis lalu, semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) dilaporkan diarah menangguhkan aktiviti luar membabitkan murid, guru dan pensyarah susulan fenomena cuaca panas.

KPM memaklumkan, larangan itu termasuklah untuk aktiviti seperti merentas desa, kawad, sukan, permainan, perkhemahan serta pengajaran dan pembelajaran (PdP) luar bilik darjah.

"Mengambil kira cuaca panas dan kering berpanjangan yang sedang melanda negara, institusi pendidikan di bawah KPM diminta menangguhkan semua aktiviti luar membabitkan murid, guru dan pensyarah," kata kementerian itu menerusi perkongsian di Facebook.

Terdahulu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, dilaporkan memaklumkan KPM sudah mengeluarkan pekeliling berhubung larangan sebarang aktiviti luar bagi mengelak serangan strok haba.

Beliau dilapor berkata, pekeliling itu berkuat kuasa semalam dan mesti dipatuhi semua guru besar serta pengetua sekolah di seluruh negara.

Katanya, larangan itu turut meliputi garis panduan baharu ditetapkan KPM selepas memberi kelonggaran pemakaian pakaian sukan sebelum ini.

KPM sebelum ini memberi kebenaran khas kepada murid, guru dan anggota kumpulan pelaksana di semua institusi pendidikan di bawahnya untuk memakai pakaian atau baju sukan yang sopan ketika cuaca panas, bagi mengelak sebarang komplikasi kepada kesihatan.

Malah, pemakaian tali leher juga tidak diwajibkan bagi murid yang memakai pakaian seragam sekolah.

Ahad lalu, KPM mengeluarkan garis panduan termasuk membenarkan sekolah ditutup sekiranya cuaca panas berada pada tahap amaran 2 dengan suhu tertinggi melebihi 37 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut.

Tamat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mei 2023 @ 12:53 PM