Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Polis akan mengambil pendekatan memberi nasihat dan tidak akan menyaman pengguna jalan raya yang melakukan pusingan U melawan arus di laluan keluar Raub, Lebuh Raya Jalan Lingkaran Tengah Utama (LTU) bypass Raub, seperti yang tular di media sosial semalam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, bagaimanapun laluan pusingan U itu akan ditutup bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

"Memang tindakan (pusingan U lawan arus) itu tidak sepatutnya berlaku tetapi buat masa ini kita lebih beri nasihat... kita faham mereka semua nak balik kampung dan kita juga bukan mahu mencari kesalahan, tetapi hanya mahu permudahkan urusan semua.

"Kita akan lancarkan lalu lintas dan mungkin akan tutup laluan itu bagi mengelakkan perbuatan pusingan U. Mungkin ini pendekatan kita," katanya ketika ditanya mengenai tindakan yang akan diambil oleh PDRM berhubung isu itu.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah dan Pengerusi Perkep Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) di Pulapol, di sini, hari ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menyampaikan ucapan pada majlis serah terima tugas Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur. FOTO ASYRAF HAMZAH
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menyampaikan ucapan pada majlis serah terima tugas Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur. FOTO ASYRAF HAMZAH

Mengulas mengenai Op Selamat, Razarudin berkata, hampir 6,000 pegawai dan anggota polis akan terbabit dalam tugasan Op Selamat kali ini.

"Konsep Op Selamat 22 bertumpu untuk mengurangkan kemalangan tahap paling minima dan memastikan aliran trafik berjalan lancar dengan mengekalkan teman sama iaitu rumah selamat, selamat sampai ke destinasi.

"Kita hendak mendidik pengguna jalan raya supaya lebih berhemah lagi ketika pulang ke kampung, membendung peningkatan kemalangan kematian, mengurus kelancaran kereta, mencegah kejadian pecah rumah dan meningkatkan rondaan cegah jenayah," katanya.

Beliau berkata, sikap adalah salah satu eleman penting yang mana sebagai pengguna jalan raya semua hendaklah bertanggungjawab antara satu sama lain.

"Saya nasihatkan pengguna supaya semasa musim perayaan ini mematuhi peraturan undang-undang lalu lintas, fokus pemanduan demi kurangkan kemalangan.

"Selain itu, saya juga hendak ingatkan mana-mana yang ingin pulang ke kampung memaklumkan pergerakan anda ke balai polis berhampiran bagi memudahkan rondaan di kawasan rumah," katanya.

Katanya, enam kesalahan utama itu masih lagi dikuatkuasa antaranya menggunakan telefon bimbit, langgar lampu merah, memotong barisan dan sebagainya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 April 2024 @ 1:08 PM