Anzalna Nasir
Anzalna Nasir

Kuala Lumpur: Pelakon Anzalna Nasir menyifatkan anak sulungnya, Mohamad Eidrees sebagai kanak-kanak yang romantik dan pandai mengambil hatinya dengan memberi pelbagai hadiah tidak dijangka.

Menurut Anzalna, walaupun Eidrees baharu berusia lima tahun namun dia tidak pernah kedekut walaupun masih tidak memiliki wang sendiri.

"Alhamdulillah Allah kurniakan anak sulung lelaki yang sangat penyayang. Selalu belai rambut saya, peluk dan cium mommy dia selalu.

"Setiap malam sebelum tidur akan cium peluk dan suruh mimpi dia. Sangat romantik. Selalu bagi saya bunga hiasan dalam rumah. Yang paling penting tak kedekut.

"Sentiasa belanja mommy dia. Kalau buka dompet Versace dia selalu bagi saya duit suruh saya shopping. Walaupun duit dalam dompet dia tak seberapa tetapi niat dia yang baik tu buat saya terharu," katanya.

Anzalna berkongsi perkara itu menerusi Instagram Story miliknya.

Dalam masa sama, Anzalna mengaku terhibur melihat ragam anak sulungnya yang masih belum mengenali nilai wang.

"Kadangkala dia buang duit dia dalam tong sampah. Dia fikir kertas kosong ke? Sumpah tak sabar nak tunggu dia besar.

"Walaupun baru berusia lima tahun tapi dia boleh berfikir apa yang boleh membahagiakan mommy dia. Saya cintakan awak Eidrees. Terima kasih selalu manjakan mommy," kongsinya.

Anzalna mendirikan rumah tangga dengan Hanif Zaki pada 2016. Pasangan ini memiliki dua orang cahaya mata iaitu Eidrees dan Mohamad Emirhan, 2 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2024 @ 1:37 PM