KEADAAN sekitar kawasan kem al-Mawasi selepas serangan udara Israel. FOTO AFP
KEADAAN sekitar kawasan kem al-Mawasi selepas serangan udara Israel. FOTO AFP
Reuters

Gaza: Serangan udara Israel membunuh sekurang-kurangnya 90 rakyat Palestin di zon kemanusiaan di Gaza pada Sabtu, kata kementerian kesihatan enklaf itu, dalam serangan yang menurut Israel menyasarkan Ketua Tentera Hamas Mohammed Deif.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, setakat ini belum diketahui sama ada Deif dan seorang lagi komander Hamas sudah dibunuh dan berjanji untuk terus menyasarkan kepimpinan Hamas.

Katanya, lebih banyak tekanan tentera ke atas kumpulan itu akan meningkatkan peluang perjanjian tebusan walaupun sumber berkata rundingan sudah dihentikan.

"Bagaimanapun, kami akan sampai kepada seluruh kepimpinan Hamas," kata Netanyahu pada sidang akhbar, berikrar untuk meneruskan matlamat perang Israel hingga ke penghujungnya.

Bagaimanapun, pejuang Hamas menafikan Deif sudah dibunuh, menurut seorang pegawai kanan Hamas di TV Al Jazeera.

Hamas sebelum ini berkata dakwaan Israel ia menyasarkan pemimpin kumpulan itu adalah palsu dan bertujuan untuk 'membenarkan' serangan itu, yang juga serangan Israel paling maut di Gaza dalam tempoh beberapa minggu.

Orang ramai yang berlindung di kawasan itu berkata, khemah mereka dirobohkan dan mayat serta bahagian badan dilihat berselerak di atas tanah.

"Saya tidak dapat beritahu di mana saya berada atau apa yang sedang berlaku," kata Sheikh Youssef, seorang penduduk Kota Gaza yang berada di kawasan Al-Mawasi.

"Saya meninggalkan khemah dan melihat sekeliling, semua khemah sudah dirobohkan, anggota badan, mayat di mana-mana," katanya kepada Reuters.

Tentera Israel berkata serangan terhadap Deif turut menyasarkan Rafa Salama, Komander Briged Hamas di Khan Younis yang dikatakan menjadi dalang serangan 7 Oktober ke atas Israel selatan yang mencetuskan perang sembilan bulan di Gaza.

Kementerian kesihatan Gaza berkata sekurang-kurangnya 91 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan itu dan 300 cedera, iaitu jumlah kematian paling banyak dalam beberapa minggu di kawasan yang dilanda konflik itu.

Al-Mawasi adalah kawasan kemanusiaan yang ditetapkan yang tentera Israel.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2024 @ 1:23 PM