HAMDAN mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Muar atas tuduhan cabul dan isyarat lucah rakan sekerjanya. FOTO Alias Abd Rani
HAMDAN mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Muar atas tuduhan cabul dan isyarat lucah rakan sekerjanya. FOTO Alias Abd Rani
Alias Abd Rani

Muar: Pekerja kedai makan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini terhadap pertuduhan melakukan amang seksual fizikal serta menunjukkan isyarat lucah terhadap rakan sekerjanya di Batu Pahat, Mei lalu.

Tertuduh, Hamdan Mohamad, 45, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibaca jurubahasa di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa berusia 16 tahun, di sebuah kedai makan di Batu Pahat, pada 6.30 petang, 28 Jun lalu.

Bagi pertuduhan ini, dia didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 yang memperuntukkan penjara 20 tahun dan juga boleh dikenakan sebatan.

Pertuduhan kedua pula, dia didakwa menunjukkan isyarat lucah terhadap mangsa pada 5 petang, 22 Mei lalu dengan kejadian juga berlaku di lokasi sama.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 15 (a) (i) akta sama dengan boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan denda RM20,000 atau kedua-dua jika sabit kesalahan.

Berdasarkan laporan polis, mangsa yang juga anak yatim piatu, baru dua hari bekerja di kedai terbabit untuk mencari sumber pendapatan.

Sepanjang bekerja di kedai makan itu, mangsa kerap diganggu tertuduh sebelum bertindak membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, 7 Julai lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pada prosiding itu, pihak pendakwaan tidak menawarkan ikat jamin terhadap tertuduh sebelum mahkamah membenarkan permohonan itu.

Mahkamah menetapkan 18 Ogos ini untuk sebutan semula kes, serahan dokumen serta lantikan peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2024 @ 1:19 PM