Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Gabungan Ketua Polis Negara dan Timbalan Ketua Polis Negara yang baharu disifatkan sebagai gabungan mantap dalam meneruskan kecemerlangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selaku institusi penguatkuasaan terulung di negara ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pengalaman Tan Sri Razarudin Husain serta kepimpinan Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dilihat dapat meneruskan reputasi PDRM bagi menjaga ketenteraman dan keamanan negara.

"Saya mempunyai harapan sangat jelas dan keyakinan sangat utuh agar PDRM di bawah kepimpinan Razarudin dapat meneruskan kelangsungan dan kecemerlangan yang ditinggalkan Tan Acryl Sani Abdullah Sani.

"Dengan gabungan baru Ayob Khan sebagai Timbalan Ketua Polis Negara saya percaya ini gandingan sangat mantap dan baik dengan pengalaman Razarudin dan kualiti kepimpinan ditunjukkan Ayob Khan selama ini akan membolehkan pihak polis khususnya meneruskan reputasi sebagai penguat kuasa terbesar dalam negara," katanya pada sidang media selepas Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Ketua Polis Negara dan Timbalan Ketua Polis Negara di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur, hari ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyaksikan penyerah watikah pelatikan Timbalan Ketua Polis yang disampaikan oleh Ketua Polis Negara ke-14, Tan Sri Razarudin Husain @ Abd Rasid kepada Timbalan Polis Negara yang baru, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay pada Majlis Serah Tugas Ketua Polis Negara dan Timbalan Ketua Polis Negara, Dewan Tan Sri Abdul Rahman Hashim, Pulapor Kuala Lumpur. FOTO ASWADI ALIAS.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyaksikan penyerah watikah pelatikan Timbalan Ketua Polis yang disampaikan oleh Ketua Polis Negara ke-14, Tan Sri Razarudin Husain @ Abd Rasid kepada Timbalan Polis Negara yang baru, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay pada Majlis Serah Tugas Ketua Polis Negara dan Timbalan Ketua Polis Negara, Dewan Tan Sri Abdul Rahman Hashim, Pulapor Kuala Lumpur. FOTO ASWADI ALIAS.

Terdahulu, berlangsung Majlis pemakaian pangkat serta watikah pelantikan antara antara Acryl Sani dan Razarudin serta Ayob Khan yang disaksikan Saifuddin.

Turut berlangsung, upacara serah terima tugas Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) di antara Pengerusi Perkep Malaysia, Puan Seri Zaiton Mohd Isa dengan Puan Seri Zainah Othman, Naib Pengerusi Perkep serta Datin Seri Zalena Mohd Ariffin.

Dalam pada itu, Saifuddin dalam ucapannya berkata, isu agama, raja, kaum (3R) antara fokus utama Razarudin serta Ayob Khan selepas pelantikan mereka, hari ini.

"Isu ini dilihat membimbangkan malah ketika mengadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah baru-baru ini ada membincangkan mengenai perkara ini, "katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Jun 2023 @ 1:57 PM