Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Pesalah trafik yang mempunyai waran tangkap tetap 'diburu' walaupun musim perayaan tidak lama lagi.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengoptimumkan penggunaan alat In-Car radar di sepanjang laluan lebuh raya.

Malah, katanya, penggunaan alat iCOPS turut diperluaskan pada musim perayaan tidak lama lagi untuk mengesan pesalah trafik berkenaan.

"PDRM akan menahan mana-mana pengguna jalan raya yang dikesan memiliki waran tangkap lampau sepanjang Op Selamat 18 yang berlangsung dari 29 April hingga 8 Mei depan.

"Sepanjang tempoh 10 hari Op Selamat 18 itu juga, mereka yang memiliki waran tangkap akan dibawa ke mana-mana balai polis berhampiran manakala mereka yang memiliki saman tertunggak akan diminta menjelaskan saman mereka," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Op Selamat 18/2022 sempena Aidilfitri bertemakan Rumah Selamat, Selamat Sampai Ke Destinasi, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Telekom Malaysia Bhd (TM) Tan Sri Mohammed Azlan Hashim.

RAZARUDIN (tiga kanan) melepaskan  pasukan petugas OP Selamat 18. FOTO Saifullizan Tamadi
RAZARUDIN (tiga kanan) melepaskan pasukan petugas OP Selamat 18. FOTO Saifullizan Tamadi

Sementara itu, Razarudin berkata, polis menjangkakan dua hingga empat juta kenderaan akan bergerak pulang bercuti ke destinasi masing-masing, Jumaat ini.

"Sepanjang Op Selamat 18 ini, PDRM melalui Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) bakal melaksanakan Op Lancar di kawasan hotspot yang dijangka berlaku kesesakan aliran lalu lintas akibat pergerakan pulang kampung dan kembali ke kediaman selepas tamat perayaan.

"Di samping itu, JSPT juga akan menjalankan pemantauan ke atas kenderaan perdagangan supaya mematuhi waktu larangan berada di lebuh raya dan jalan raya bagi memastikan aliran lalu lintas bergerak lancar," katanya.

Sementara itu, katanya, tindakan saman serta-merta akan dikenakan kepada pengguna jalan raya yang melakukan lima kesalahan iaitu memandu melebihi had laju, memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, memotong barisan 'Q' dan tidak mematuhi lampu isyarat.

Op Selamat 18 sempena Hari Raya Aifilfitri 2022 adalah kolaborasi antara PDRM dan TM yang memfokuskan objektif utama iaitu keselamatan harta benda dan premis kediaman serta menurunkan kadar jenayah pecah rumah semasa musim perayaan dan meminimumkan kes kemalangan jalan raya terutamanya kemalangan maut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 April 2022 @ 5:14 PM