Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Sebanyak 2.3 juta kenderaan dijangka keluar dari ibu kota melalui lebuh raya utama negara bermula hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, pergerakan itu bagi laluan utara, selatan dan pantai timur tanah air.

"JSPT berkoloborasi dengan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) untuk merekodkan kemasukan kenderaan di semua lebuh raya.

"Pihak PLUS Berhad menjangkakan sebanyak 2.1 juta kenderaan secara harian akan melalui Lebuhraya Utara Selatan sepanjang tempoh cuti Hari Raya Aidilfitri.

"Sementara ANIH Berhad bagi pergerakan ke timur membabitkan Lebuhraya Karak dan Lebuhraya Pantai Timur (LPT1) yang dijangka sebanyak 200,000 kenderaan sehari," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, JSPT akan terus memantau pergerakan lalu lintas dan mengingatkan semua pengguna supaya mematuhi undang-undang jalan raya yang ditetapkan bagi mengelak perkara tidak diingini.

Orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline 1800-88-0000 dan laman Twitter di http://www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-887752 serta laman Twitter di http://www.twitter.com/LLMtrafik.

KEADAAN trafik di Plaza Tol Gombak menuju ke Pantai Timur pada 4 petang tadi. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
KEADAAN trafik di Plaza Tol Gombak menuju ke Pantai Timur pada 4 petang tadi. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 April 2024 @ 4:50 PM