Tinjauan aliran trafik di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak pukul 9.42 pagi mulai sesak apabila warga kota mula pulang ke kampung halaman masing-masing sempena Hari Raya Haji. FOTO GENES GULITAH
Tinjauan aliran trafik di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak pukul 9.42 pagi mulai sesak apabila warga kota mula pulang ke kampung halaman masing-masing sempena Hari Raya Haji. FOTO GENES GULITAH
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Aliran trafik sesak dari arah Gombak menuju ke pantai Timur apabila jumlah kenderaan semakin meningkat susulan warga kota mulai pulang ke kampung halaman bagi sambutan Hari Raya Aidiladha.

Tinjauan menerusi akaun rasmi Twitter Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sehingga 3 petang tadi mendapati pergerakan kenderaan di beberapa laluan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak mulai perlahan.

Jurucakap ANIH Berhad berkata, aliran trafik dari Plaza Tol Gombak sehingga Kilometer (KM) 26.4 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak sesak sejauh 6.6km.

Menurutnya, keadaan sama juga berlaku dari Gombak ke Genting Sempah sejauh 9.2km, Bukit Tinggi (1.9km), Bukit Tinggi ke Bentong (16.5km) dan Bentong ke Karak (1.6km) berikutan pertambahan kenderaan.

Katanya, keadaan trafik adalah lancar di sepanjang Lebuhraya Pantai Timur (LPT 1) di kedua-dua hala.

Sementara itu, aliran trafik perlahan dilaporkan di Lebuhraya Utara-Selatan arah utara iaitu dari Terowong Menora ke R&R Sungai Perak; Tasek ke Terowong Menora; Tapah ke Gopeng; Slim River ke Sungkai; Sungkai ke Tapah dan Rawang ke Sungai Buaya.

Manakala bagi arah utara lebuh raya sama, trafik perlahan dari R&R Sungai Muda ke Sungai Petani Selatan; Permatang Pauh ke Sungai Dua; Juru ke Kawasan Perindustrian Perai, Jawi ke Bukit Tambun dan Kuala Kangsar ke R&R Bukit Gantang.

Selain itu, aliran trafik turut perlahan di lebuh raya sama arah selatan iaitu dari Nilai Utara ke R&R Seremban; Senawang ke Pedas/Linggi dan Pedas/Linggi ke Simpang Ampat.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline 1800-88-0000 dan laman Twitter di http://www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-887752 serta laman Twitter di http://www.twitter.com/LLMtrafik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Jun 2023 @ 3:38 PM