GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO Bernama
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Aliran trafik di beberapa laluan di sekitar lebuh raya utama masih sesak berikutan orang ramai pulang ke kampung sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, hari ini.

Tinjauan menerusi akaun rasmi X Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sehingga 11 malam ini mendapati trafik sesak di beberapa laluan terutama menghala pantai timur.

Pergerakan trafik perlahan dari Plaza Tol Gombak sehingga ke Genting Sempah, Bukit Tinggi dan Lentang berikutan pertambahan kenderaan.

Trafik juga perlahan di Lebuhraya Utara Selatan (Plus) arah utara dari Slim River ke Sungkai dan dari Kuala Kangsar ke Changkat Jering.

Bagaimanapun, trafik arah selatan dilaporkan terkawal dari Nilai ke Bandar Ainsdale dan Port Dickson.

Sebanyak 2.3 juta kenderaan dijangka keluar dari ibu kota melalui lebuh raya utama negara bermula hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri dilaporkan berkata, pergerakan itu bagi laluan utara, selatan dan pantai timur tanah air.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline 1800-88-0000 dan laman Twitter di http://www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-887752 serta laman Twitter di http://www.twitter.com/LLMtrafik.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 April 2024 @ 12:01 AM