JALALUDDIN (dua kiri) menyampaikan surat pelepasan kepada wakil majikan yang mengambil yang banduan menerima PBSL untuk berkerja. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
JALALUDDIN (dua kiri) menyampaikan surat pelepasan kepada wakil majikan yang mengambil yang banduan menerima PBSL untuk berkerja. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap

Jelebu: Kerajaan negeri bersedia mengadakan sesi libat urus bersama Jabatan Penjara Malaysia serta pemain industri perladangan dan pertanian bagi mengambil bekas banduan atau yang menerima Pembebasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) untuk berkerja di sektor berkenaan di negeri ini.

Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, isu kekurangan pekerja tempatan di sektor perladangan dan pertanian sering kali menjadi masalah sehingga ada di antara syarikat perladangan mengambil pekerja asing.

Katanya, dengan lambakan bekas banduan seramai 75,000 di seluruh negara, banyak keperluan tenaga kerja di sektor berkenaan boleh diisi.

"Menerusi program PBSL yang dilaksanakan ketika ini, kebanyakan majikan yang mengambil mereka berkerja memberi respon positif dan mereka tidak menimbulkan masalah.

"Kebanyakan bekas banduan menjalani hukuman penjara pertama kali malah berdasarkan rekod hanya 0.2 peratus membabitkan kes berulang, justeru mereka perlu diberi peluang bekerja termasuk di dalam sektor perladangan atau pertanian," katanya ketika ditemui selepas merasmikan program PBSL Insan Madani di Institusi Pemulihan Dadah Jelebu, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Penjara Negeri Sembilan, Penolong Kanan Komisioner Ahmad Mustaqim Che Bisi dan Pengarah Institusi Pemulihan Dadah Jelebu, Penolong Komisioner Penjara Hasrul Anwar Hasim.

Jalaluddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kemajuan Desa, Perladangan dan Komoditi negeri berkata, kebergantungan tenaga buruh pekerja asing boleh dikurangkan sekiranya bekas banduan diberi peluang berkhidmat.

Katanya, projek perintis boleh dilaksanakan di ladang, estet atau ladang Felda di seluruh negeri ini sebelum ia dinilai daripada pelbagai sudut bagi melihat keberkesanan program berkenaan.

Sementara itu, Jalaluddin berkata, kerajaan sedia membantu bekas banduan yang berkemahiran dalam bidang pertanian dan penternakan memajukan tanah terbiar di negeri ini.

Katanya, seperti di Institusi Pemulihan Dadah Jelebu, banduan dilatih menternak ikan air tawar dan disebabkan itu kepakaran mereka sangat diperlukan.

Program PBSL Insan Madani membebaskan 33 Orang Bebas Berlesen (OSB) sempena Aidilfitri.

Ia dilaksanakan bagi memberi pelepasan kepada banduan yang menjalani hukuman penjara tiga tahun dan ke bawah seterusnya menjalani hukuman pemenjaraan di luar batasan penjara serta mengikuti program pemulihan dalam komuniti mengikut Seksyen 43 Akta Penjara 1995 (Akta 537).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 April 2024 @ 3:46 PM