Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias ketika berbual bersama banduan dan ahli keluarga  yang menerima PBSL di Institusi Pemulihan Dadah Jelebu. FOTO ABNOR HAMIZAM ABD MANAP
Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias ketika berbual bersama banduan dan ahli keluarga yang menerima PBSL di Institusi Pemulihan Dadah Jelebu. FOTO ABNOR HAMIZAM ABD MANAP
Abnor Hamizam Abd Manap


Jelebu: "Hampir lima bulan saya di dalam penjara, saya risau apabila memikirkan isteri. Saya sangat sayang isteri, takut dia tinggalkan saya disebabkan tidak boleh menerima hakikat suami dimasukkan ke dalam penjara," akui Bob, 39, dari Gemas.

Dia menjalani hukuman di Institusi Pemulihan Dadah Jelebu selama 10 bulan namun dibebaskan awal menerusi Program Pembebasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) Insan Madani.

Katanya, pengalaman rakan yang bercerita mengenai ada isteri menuntut cerai malah lebih teruk menjalin hubungan terlarang dengan lelaki sangat menakutkan dia.

Namun Bob bersyukur isterinya tetap setia dan sanggup menunggu kepulangannya malah menjadi penjamin bagi program PBSL,

"Saya berazam tidak mahu mengulangi kesalahan ini. Semuanya bermula daripada sekadar mahu mencuba dan dipengaruhi rakan," katanya.

Sementara itu, isteri Bob yang dikenali Ana, 46, berkata, dia tetap setia kepada suami biarpun sudah dua kali menjalani hukuman penjara.

"Saya yakin dia boleh berubah sebab dia suami yang baik dan bapa penyayang kepada empat anak kami.

"Saya pun tidak sangka dia akan dibebaskan awal sekali gus membolehkan kami menyambut Aidilfitri bersama," katanya.

Program itu dirasmikan Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Hadir sama, Pengarah Penjara Negeri Sembilan, Penolong Kanan Komisioner Ahmad Mustaqim Che Bisi dan Pengarah Institusi Pemulihan Dadah Jelebu, Penolong Komisioner Penjara Hasrul Anwar Hasim.

Menerusi Program PBSL Insan Madani itu, seramai 33 Orang Bebas Berlesen (OSB) dibebaskan sempena Aidilfitri.

Ia dilaksanakan bagi memberi pelepasan kepada banduan yang menjalani hukuman penjara tiga tahun dan ke bawah seterusnya menjalani hukuman pemenjaraan di luar batasan penjara serta mengikuti program pemulihan dalam komuniti mengikut Seksyen 43 Akta Penjara 1995 (Akta 537).

Bagi Zue, 39, dari Jempol pula, biarpun abangnya Ayie, 46, sudah empat kali keluar masuk penjara akibat dadah, dia tidak membenci saudaranya itu.

Dia tampil selaku penjamin bagi program PBSL untuk abangnya dan tetap memberi sokongan kepada Ayie supaya menjauhkan dadah.

Ayie yang juga duda dua anak berkata, dia gembira kerana dibebaskan lebih awal selepas menjalani hukuman selama dua bulan daripada enam bulan yang diterimanya.

"Adik yang bertanggungjawab mengurus keluarga selepas ketiadaan ayah dan ibu, malah dua anak saya turut dijaga sekali gus menyebabkan saya berazam untuk tidak terbabit dengan dadah lagi, saya kasihan kepadanya," katanya.

Sementara itu, Jalaluddin mengingatkan banduan yang diberi PBSL supaya tidak mengulangi kesalahan sama.

"Semua mesti bersyukur kerana pembebasan awal adalah nikmat Allah sempena Aidilfitri ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 April 2024 @ 2:52 PM