Rohaniza Idris


Kuala Lumpur: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) meluluskan pindaan perlembagaan Bersatu yang dipinda selepas diluluskan parti itu pada Perhimpunan Agung Khas (EGM), 2 Mac lalu.

Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, ROS sudah meluluskan pindaan perlembagaan Bersatu yang membolehkan parti mengambil langkah seterusnya mengosongkan enam kerusi parlimen untuk diadakan Pilihan Raya Kecil (PRK).

"Alhamdulillah ROS sudah lulus permohonan pindaan perlembagaan Bersatu yang membolehkan kami mengosongkan kerusi 6 ahli parlimen yang menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Langkah seterusnya mengosongkan kerusi mereka ini untuk Pilihan Raya Kecil peringkat parlimen," katanya dalam satu hantaran di media sosialnya.

Beliau turut menyiarkan salinan surat kelulusan itu yang antara lain menyebut pindaan itu diluluskan dan boleh dikuatkuasa mulai 1 April lalu.

Surat itu ditandatangani Pendaftar Pertubuhan, Datuk Mohd Zulfikar Ahmad berdasarkan Akta pertubuhan 1966.

Pada 2 Mac lalu Bersatu meluluskan pindaan perlembagaan parti itu berhubung pelucutan keahlian parti bagi Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) serta Ahli Dewan Negeri yang menyokong mana-mana pihak yang bertentangan dengan parti atau musuh.

Keputusan dibuat dalam EGM selepas perwakilan Bersatu yang hadir sebulat suara menyokong usul meminda Perkara 10 perlembagaan parti.

Pindaan itu dibuat selepas enam Ahli Parlimen Bersatu mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Sementara itu, pada 7 Mac lalu, seorang ADUN parti itu Datuk Abdul Rashid Asari (Selat Klang) turut memberi dukungan sama kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Pindaan itu membabitkan tiga perkara di bawah Fasal 10 Perlembagaan Bersatu yang berkaitan hal-hal pemberhentian dan pemecatan ahli parti iaitu dengan memasukkan tambahan Fasal 10.4, 10.5 dan 10.6.

Fasal 10.4 memperuntukkan mana-mana ahli Bersatu yang juga wakil rakyat di Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Dewan Negeri yang melakukan ketidakpatuhan terhadap apa-apa arahan yang dikeluarkan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi selari dengan Fasal 10.5 disifatkan terhenti keahliannya daripada parti itu secara serta-merta.

Perkara 10.5 pula menyatakan Majlis Pimpinan Tertinggi boleh mengeluarkan arahan khusus kepada mana-mana atau semua wakil rakyatnya di Dewan Rakyat atau DUN atau Dewan Negeri dan ia hendaklah dibuat secara bertulis.

Perkara 10.6 merujuk kepada Fasal 10.4 iaitu Setiausaha Agung, atas arahan Majlis Pimpinan Tertinggi, hendaklah mengeluarkan notis kepada ahli berkenaan yang memaklumkan bahawa keahlian beliau terhenti secara serta-merta dan namanya dikeluarkan daripada sistem pendaftaran keahlian parti.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2024 @ 4:59 PM