PRESIDEN Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berucap ketika Perhimpunan Agung Khas di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Selayang. FOTO Hairul Anuar Rahim
PRESIDEN Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berucap ketika Perhimpunan Agung Khas di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Selayang. FOTO Hairul Anuar Rahim
BERNAMA

Kuala Lumpur: Perhimpunan Agung Khas Bersatu hari ini meluluskan pindaan perlembagaan parti itu berhubung pelucutan keahlian parti bagi Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) serta Ahli Dewan Negeri yang menyokong mana-mana pihak yang bertentangan dengan parti atau musuh.

Pindaan itu membabitkan tiga perkara di bawah Fasal 10 Perlembagaan Bersatu iaitu berkaitan hal-hal pemberhentian dan pemecatan ahli parti.

Kelulusan sebulat suara pindaan itu diumumkan oleh Pengerusi Tetap Bersatu, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah di hadapan 1,956 perwakilan daripada bahagian serta sayap Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) dan Srikandi, dan Srikandi Muda yang hadir.

Terdahulu Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu ketika membentangkan usul berkenaan berkata, tiga pindaan dengan memasukkan tambahan fasal pada Fasal 10 itu membabitkan Fasal 10.4, 10.5 dan 10.6.

Katanya, Fasal 10.4 memperuntukkan mana-mana ahli Bersatu yang juga wakil rakyat di Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri atau Dewan Negeri yang melakukan ketidakpatuhan terhadap apa-apa arahan yang dikeluarkan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi yang selari dengan Fasal 10.5 adalah disifatkan terhenti keahliannya daripada Bersatu secara serta-merta.

"Perkara 10.5 Majlis Pimpinan Tertinggi boleh mengeluarkan apa-apa arahan khusus kepada mana-mana atau semua wakil rakyatnya di Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri atau Dewan Negeri. Semua arahan yang dikeluarkan di bawah fasal ini hendaklah dibuat secara bertulis.

"Perkara 10.6 pula merujuk kepada Fasal 10.4, Setiausaha Agung atas arahan Majlis Pimpinan Tertinggi hendaklah mengeluarkan satu notis kepada ahli berkenaan yang memaklumkan bahawa keahlian beliau telah terhenti secara serta-merta dan bahawa nama beliau telah dikeluarkan daripada sistem pendaftaran keahlian parti," katanya.

Sebelum ini Bersatu mahu meminda perlembagaan parti berikutan tindakan enam Ahli Parlimennya yang mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tanpa mengisytiharkan keluar daripada parti.

Mereka ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Sementara itu, Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam ucapannya berkata, pindaan berkenaan terpaksa dibuat kerana tindakan enam Ahli Parlimen Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri tanpa keluar daripada parti.

Muhyiddin berkata, mereka tidak keluar daripada Bersatu kerana Perkara 49A(1)(a) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan seseorang Ahli Parlimen akan hilang kerusi mereka jika keluar daripada parti.

"Kita pinda perlembagaan parti supaya keahlian mereka terlucut serta-merta dan di bawah Perlembagaan Persekutuan, kerusi parlimen mereka mesti dikosongkan dan pilihan raya kecil diadakan," katanya.

Dalam sidang media selepas perhimpunan itu, Muhyiddin berkata, Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainuddin akan menghantar usul pindaan berkenaan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia untuk diluluskan, sebelum dikuatkuasakan serta-merta.

Hamzah juga akan menulis kepada keenam-enam Ahli Parlimen berkenaan untuk mendapatkan jawapan sama ada mereka kekal menyokong Perdana Menteri.

"Kalau mereka kata ya, maka terkesanlah sebagaimana yang diperuntukkan oleh perlembagaan kita itu, kerusi mereka mesti dikosongkan… soal mereka nak kosongkan secara sukarela, itu soal dia, tetapi mengikut peraturan perlembagaan parti kita yang telah diluluskan ini, kesannya begitu selari dengan Akta Anti Lompat Parti," katanya.

Ditanya sama ada pindaan itu memberi kesan retrospektif atau kesan terkebelakang kepada enam Ahli Parlimen berkenaan, Muhyiddin persoalan itu tidak timbul kerana mereka masih ahli Bersatu dan belum disingkirkan.

"Mengikut pindaan ini kalau mereka sokong pihak sana itu salah, maka keahlian Bersatu mereka akan terhenti mulai hari itu maka kesannya mereka kena kosongkan kerusi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mac 2024 @ 8:31 PM