Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memaklumkan menghantar surat arahan kepada semua wakil rakyat parti itu untuk menjawab berhubung keahlian mereka dalam parti itu dalam tempoh 14 hari dari tarikh ia dikeluarkan hari ini.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, antara kandungan surat arahan itu adalah mengenai tanggungjawab mereka di bawah Perlembagaan Bersatu untuk setia kepada parti dengan mendukung dasar, matlamat dan tujuan parti.

"Keduanya, kita ingin mereka mengetahui bahawa kepimpinan Bersatu telah membuat ketetapan bahawa tidak menyokong atau menyertai kerajaan yang diterajui Anwar sebagai Perdana Menteri.

"Ketiganya, kepimpinan juga membuat ketetapan bahawa Bersatu tidak menyokong mana-mana Menteri Besar, Ketua Menteri atau menyertai mana-mana kerajaan negeri yang tidak dipersetujui oleh Bersatu," katanya katanya pada sidang medianya di ibu pejabat Perikatan Nasional (PN) di sini hari ini.

Ketua Pembangkang itu berkata, surat itu dihantar oleh pihaknya kepada semua wakil rakyat Bersatu dalam bentuk e-mel, kurier dan tangan.

Beliau turut mengingatkan semua wakil rakyat itu perlu mengakui penerimaan dan pengesahan surat berkenaan.

Katanya, kegagalan untuk membalasnya akan menyebabkan keahlian terhenti serta-merta dan kedudukan mereka sebagai wakil rakyat tergugur menurut Perlembagaan Bersatu.

Bagaimanapun Hamzah berkata, enam Ahli Parlimen dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pula mempunyai beberapa arahan tambahan lain.

"Mereka tahu dan boleh bertanya kepada mereka apa arahan khusus saya berikan selepas menerima arahan daripada Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT)," katanya pada sidang medianya di ibu pejabat Perikatan Nasional (PN) di sini hari ini.

Sebelum ini dilaporkan, Dewan Rakyat masih belum menerima sebarang notis daripada Bersatu berhubung status keahlian enam Ahli Parlimen parti itu yang menyokong Anwar, susulan pindaan perlembagaan parti yang diluluskan baru-baru ini.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, sehubungan itu, kedudukan enam wakil rakyat berkenaan masih kekal sebagai Ahli Parlimen.

Pada 2 April lalu, media melaporkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) telah meluluskan permohonan pindaan Perlembagaan Bersatu yang membolehkan parti itu menggugurkan keahlian mereka dan seterusnya mengosongkan kerusi enam Ahli Parlimen yang bertindak memberi sokongan kepada pihak lawan.

Enam Ahli Parlimen berkenaan ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjung Karang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman Labuan dan seorang Adun Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mei 2024 @ 5:52 PM