SYED Abu Hussin Hafiz (kanan) bersama Johari (dua kanan) dan Dr Mohammed Taufiq ketika meninjau gerai jualan ikan pada Program Jualan Termurah Madani di Bandar Perdana, hari ini. FOTO Noorazura Abdul Rahman
SYED Abu Hussin Hafiz (kanan) bersama Johari (dua kanan) dan Dr Mohammed Taufiq ketika meninjau gerai jualan ikan pada Program Jualan Termurah Madani di Bandar Perdana, hari ini. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


Sungai Petani: Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal bersedia menghadapi sebarang kemungkinan selepas nasibnya sebagai wakil rakyat kawasan itu akan diputuskan pucuk pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas ini.

Beliau berkata, sehingga kini beliau masih menunggu surat daripada parti selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) meluluskan pindaan perlembagaan parti itu bagi pelucutan keahlian wakil rakyat yang menyatakan sokongan kepada pihak bertentangan dengan pendirian parti.

"Kita tenang sebab kita tahu kita memang ahli parti dan perlu tunggu surat itu. Nak tengok surat itu dulu, selepas dapat surat baru kita boleh buat kenyataan lebih jelas, sebagai seorang ahli politik kita bersedia saja apa pun yang akan berlaku, kita bersedia.

"Tetapi kita nak tengok apa jawapan (pucuk pimpinan) dan sebagai seorang ahli politik yang bukan saja berkhidmat pada waktu tertentu kita bersedia apa juga kemungkinan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau Program Jualan Termurah Madani di Bandar Perdana di sini, hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Seri Johari Abdul dan Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari.

Syed Abu Hussin Hafiz berkata, sehingga kini beliau tidak berhubung atau dihubungi Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk berbincang mengenai perkara itu.

Selasa lalu, ROS meluluskan pindaan Perlembagaan Bersatu yang dipinda selepas dalam Perhimpunan Agung Khas (EGM), 2 Mac lalu.

Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dilaporkan berkata, kelulusan itu membolehkan parti mengambil langkah seterusnya iaitu mengosongkan enam kerusi Parlimen untuk diadakan Pilihan Raya Kecil (PRK).

Pindaan itu dibuat selepas enam Ahli Parlimen Bersatu mengisytiharkan sokongan kepada Anwar iaitu Syed Abu Hussin Hafiz (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Pada 7 Mac pula, seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bersatu, Datuk Abdul Rashid Asari (Selat Klang) turut memberi dukungan sama kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 April 2024 @ 1:16 PM