Razali Idris
Razali Idris
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Enam Ahli Parlimen 'berpaling tadah' tidak perlu menunggu surat pemecatan, sebaliknya keahlian tergugur selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) meluluskan usul pindaan Perlembagaan Parti Pribumi Bersatu (Bersatu).

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris, berkata keahlian tujuh, termasuk seorang Ahli Dewan Undangan negeri (Adun) yang menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah tergugur secara automatik dan perlu mengosongkan kerusi.

"Parti hanya akan menghantar surat pemakluman berserta notis kelulusan pindaan perlembagaan parti seperti diluluskan ROS.

"Enam ahli parlimen dan Adun digesa tidak menunggu surat daripada Bersatu, sebaliknya jika anak jantan, lepaskan jawatan dan umum kosongkan kerusi," katanya.

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal dilaporkan berkata, pihaknya masih belum menerima apa-apa notis daripada Bersatu, selepas ROS meluluskan pindaan perlembagaan.

Selain Syed Abu Hussin Hafiz, lima lagi Ahli Parlimen yang mengisytiharkan penyokong Anwar adalah Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Zulkafperi Hanapi, Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman.

Bulan lalu, Adun Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari turut mengumumkan memberi sokongan kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 April 2024 @ 10:39 AM