GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Tarikh pendaftaran baharu dan kemas kini Sumbangan Tunai Rahmah (STR) akan dibuka mulai hari ini sehingga 31 Mac.

Langkah itu bertujuan memastikan mereka yang layak atau masih tiada dalam pangkalan data kerajaan dapat mengemukakan permohonan masing-masing.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan berkata, ia juga bagi membolehkan penerima sedia ada yang mempunyai sebarang perubahan maklumat untuk membuat pengemaskinian.

"Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, STR pada tahun ini akan memanfaatkan 8.7 juta penerima dengan peruntukan hampir RM8 bilion.

"Pendekatan rahmah dalam membela nasib rakyat susah terutamanya golongan rentan dan mudah terjejas akan terus diperkasakan di bawah Kerajaan Perpaduan," katanya hari ini.

Bagi mengurangkan golongan yang tercicir atau 'exclusion error', data penerima STR Fasa 1 akan dibawa secara automatik ke dalam pangkalan data kerajaan.

"Data daripada beberapa agensi kerajaan untuk disemak silang kelayakan STR mengikut syarat yang ditetapkan.

"Kementerian Kewangan juga akan memperhebatkan program turun padang bersama pemimpin komuniti dan pelusuk desa bagi memastikan STR dirasai oleh seluruh rakyat Malaysia.

"Pemohon STR boleh merujuk Soalan Lazim (FAQ) di portal rasmi STR melalui pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my bagi mendapatkan maklumat lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mac 2023 @ 11:14 AM