GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Irwan Shafrizan Ismail


Putrajaya: Seramai 8.7 juta golongan B40 akan menerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 yang akan disalurkan secara berperingkat mulai 5 April ini.

Kementerian Kewangan dalam pembayaran STR Fasa 2 membabitkan implikasi kewangan berjumlah RM1.26 bilion itu akan dikreditkan ke dalam akaun bank penerima yang berdaftar di dalam pangkalan data STR.

"Bagi kategori isi rumah yang membabitkan empat juta penerima akan menerima bayaran RM200, manakala 1.2 juta warga emas dan 3.5 juta penerima bujang akan menerima RM100," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu berkata, penerima STR di kawasan pedalaman termasuk Sabah dan Sarawak yang mempunyai akaun bank atau tiada akaun bank akan turut menerima pembayaran pada tarikh sama.

"Penerima STR yang tiada akaun bank juga boleh membuat penunaian di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) mulai 5 April ini.

Katanya, dengan pembayaran itu, sejumlah RM2.93 bilion peruntukan STR sudah dibayar kepada golongan B40 pada 2023.

"Pembayaran seterusnya iaitu Fasa 3 dan Fasa 4 akan dilaksanakan mengikut jadual ditetapkan iaitu pada Julai dan November tahun ini dengan mengambil kira permohonan baharu atau kemas kini STR yang diterima semasa tempoh permohonan dan pengemaskinian.

"Sehingga 31 Mac lalu, sebanyak 714,918 permohonan baharu dan 2,618,104 permohonan kemas kini sudah diterima dan akan melalui proses verifikasi sebelum diluluskan mengikut kategori kelayakan STR," katanya.

Semakan status pembayaran akan dibuka mulai 5 April 2023.

Maklumat lanjut berkaitan pembayaran ini boleh dirujuk kepada Soalan Lazim (FAQ) di Portal Rasmi STR melalui pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 April 2023 @ 5:31 PM