Noraini (dua dari kiri) ketika pengebumian tulang Bella di Banang Jaya. FOTO Alias Abd Rani
Noraini (dua dari kiri) ketika pengebumian tulang Bella di Banang Jaya. FOTO Alias Abd Rani
Alias Abd Rani


Batu Pahat: "Assalamualaikum Mira Sharmila Samsusah. Ya Allah aku serahkan kembali sebahagian tubuhnya," demikian coretan Norhisham Samsusah, 36, selepas enam ketulan milik Bella selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Banang Jaya, hari ini.

Proses pengebumian tulang terbabit dijalankan sebelum Zohor, yang turut dihadiri ahli keluarga terdekat termasuk anak lelaki Bella, Eusof Fatah, 5, ibunya Noraini Salleh, 55, dan kakak Norhisham.

Terdahulu, enam ketul tulang terdiri paha, betis dan keting dibawa pulang dari Hospital Sultan Ismail (HSI) selepas laporan forensik yang dikeluarkan semalam mendapati ia sah milik Bella.

Sementara itu, Norhisham atau Ayu sebaik selesai pengebumian tulang itu berkata, mereka bersyukur kerana semua urusan berjalan lancar.

"Urusan selesai jam 1.20 tengahari, kami bersyukur semua berjalan lancar," katanya.

Dalam pada itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dijalankan mendapati, tulang ditemui adalah sepadan dengan rangka dijumpai semasa proses siasatan dalam kes pembunuhan Bella.

Katanya, pihak HSI dimaklumkan berkaitan pengesahan keputusan ujian DNA bagi membolehkan waris Bella menuntut tulang terbabit.

Semalam, selepas sebulan menanti, keluarga kepada Bella mendapat jawapan apabila tulang ditemui berhampiran rumah sewa terbiar Kampung Batu 7, Tongkang Pechah, milik Bella.

Keenam-enam ketulan itu ditemui ketika kerja pembersihan berdekatan tapak rumah terbiar pada jam 11.30 pagi, 28 Februari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mac 2024 @ 2:49 PM