NORHISHAM (kiri) bersama adiknya, Bella.
NORHISHAM (kiri) bersama adiknya, Bella.
Alias Abd Rani


Batu Pahat: "Selamat tinggal Bella, aku sayang sangat pada kau Bella. Aku akan tuntut keadilan atas pemergian kau ini.

"Sepatutnya kita masih bersama-sama kan," itu luahan Norhisham Samsusah, 36, selepas ujian asid deoksiribonukleik (DNA) mengesahkan rangka ditemui dalam rumah sewa terbiar di Kampung Batu 7, Tongkang Pechah, adalah Bella.

Norhisham atau lebih mesra dengan panggilan Ayu menerima berita mendukacitakan itu sekitar 6.20 petang selepas dihubungi pihak polis memaklumkan keputusan DNA terbabit.

"Kehilangan paling berat. Dukacita saya maklumkan ujian DNA mengesahkan rangka itu milik Bella. Berat dugaan kami sekeluarga.

"Esok jenazah akan dituntut di Hospital Sultan Ismail (HSI) sebelah pagi dan dibawa pulang ke Batu Pahat untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Banang Jaya.

"Jenazah akan disembahyangkan dia Masjid Dato Bentara. Mohon semua kenalan, rakan, sahabat dan semua warga Batu Pahat datang untuk solatkan Bella kali terakhir," katanya dalam coretan di Facebook.

Ayu berkata, dia berterima kasih atas doa dan usaha semua pihak sehingga adik kesayangannya ditemui walaupun dalam keadaan tidak sempurna.

Dalam pada itu, ruang komen di Facebook Ayu dipenuhi dengan ucapan takziah serta kata-kata semangat.

"Semoga awak sekeluarga kuat menerima Qada dan Qadar. Jagalah amanat yang arwah tinggalkan dengan penuh kasih sayang. Mungkin itu lah satu-satunya pengubat rindu tatkala teringat akan Bella kelak," tulis warganet.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah, berkata melalui laporan diterima polis, ianya 'biologikal' sepadan dengan sampel diambil daripada ibu dan kakak kepada Bella.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 January 2024 @ 8:37 PM