Alias Abd Rani


Batu Pahat: Debaran keluarga Mila Sharmila Samsusah, 32, menanti keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) akhirnya terjawab apabila polis mengesahkan rangka ditemukan dalam rumah sewa terbiar di Kampung Batu 7, Tongkang Pechah, di sini adalah Bella.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah, berkata melalui laporan diterima polis menunjukkan ia sepadan dengan sampel diambil daripada ibu dan kakak kepada Bella.

Justeru, Ismail berkata, polis sudah menghubungi keluarga mangsa untuk menuntut jenazah di Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru.

"Analisa DNA yang dihantar ke Jabatan Kimia pada 21 Januari lalu sudah diterima polis hari ini," katanya dalam kenyataan.

Ujian DNA dijalankan Sabtu lalu dengan polis mengambil sampel tisu daripada Norhisham, 36, dan ibunya Noraini Salleh, 55, bagi menentukan sama ada rangka ditemukan dalam rumah sewa terbiar adalah Bella atau sebaliknya.

Bella dilaporkan hilang pada malam 14 Disember lalu.

Rangka wanita itu ditemukan selepas suspek ditahan sebaik tiba di tanah air selepas menunaikan umrah bersama keluarga.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan, Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat mengesahkan seorang daripada tiga suspek yang ditahan bagi membantu siasatan kes kehilangan Bella, akan didakwa di Mahkamah Majistret Batu Pahat, esok.

Pertuduhan akan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

BELLA. FOTO Ihsan Keluarga
BELLA. FOTO Ihsan Keluarga

Berita berkaitan

Penemuan rangka di rumah terbiar milik Bella?

Bella atau bukan? Identiti masih misteri

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 January 2024 @ 8:06 PM