Alias Abd Rani


Batu Pahat: "Pembunuh, pembunuh!" itu teriakan didengari selepas teman lelaki Bella, Mohammad Haikal Mahfuz, 24, dibawa keluar dari Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh wanita itu.

Mohammad Haikal memakai baju Melayu hijau, diiringi dengan kawalan ketat anggota siasatan jenayah sebelum dibawa menaiki kenderaan polis.

Kakak kepada Bella, Norhisham Samsusah, 36, tidak dapat mengawal emosi ketika keluar dari mahkamah sebaik prosiding pertuduhan membunuh dikenakan terhadap lelaki itu.

Pada masa sama, ibu Bella, Noraini Salleh, 55, kelihatan mengurut dada sambil beristighfar dengan wajahnya dalam keadaan sayu dan sedih.

Sementara itu, bapa saudara Bella, Nor Azhar Jamil, 55, berkata dia mewakili keluarga anak saudaranya itu mahukan keadaan bukan sahaja ditegakkan tetapi pasti ditegakkan.

Katanya, ia bagi membolehkan Bella atau nama sebenar Mila Sharmilah Samsusah, mendapat keadilan dalam penganiayaan yang berlaku terhadap dirinya.

"Kami berterima kasih pada seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa mendoakan supaya siasatan bagi pihak keluarga Bella dijalankan selepas kehilangannya.

"Selepas selepas 36 hari, rangka ditemui dalam keadaan tidak sempurna dan hari ini (hari ke-41), orang disyaki dengan kehilangan Bella akhirnya dihadapkan ke mahkamah.

"Jenazah Bella akan dituntut di HSI (Hospital Sultan Ismail) Johor Bahru dan akan dibawa pulang ke sini untuk disolat dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Banang Jaya," katanya.

Terdahulu, teman lelaki Bella, Mohammad Haikal Mahfuz, 24, didakwa di Mahkamah Majistret atas pertuduhan membunuh wanita itu bulan lalu.

Rangka milik Bella ditemui dalam rumah sewa terbiar di Kampung Batu 7, Tongkang Pechah pada jam 2 petang Jumaat lalu.

Susulan penemuan rangka itu, polis mengambil sampel daripada kakak dan ibu Bella untuk menjalankan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Bagaimanapun, ujian dijalakan di HSI pada Sabtu lalu mendapati rangka itu sah milik wanita itu selepas sampel diambil berpadanan dengan Bella.

Berita berkaitan

Cemburu, sakit hati punca pembunuhan Bella

'Saya boleh agak apa berlaku terhadapnya' - Rakan Bella

Penemuan rangka di rumah terbiar milik Bella?

Bella atau bukan? Identiti masih misteri

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2024 @ 12:02 PM