Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Polis mengesan modus operandi sindiket penipuan yang membuat panggilan video berlatar belakangkan pejabat polis sehingga mengaut keuntungan mencecah RM 1.97 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, sindiket itu didapati menggunakan nama kemudahan e-Reporting bagi memperdayakan mangsa.

Menurutnya, 34 laporan membabitkan kerugian RM1.01 juta pada tahun lalu manakala 14 laporan membabitkan kerugian RM 960,500 diterima setakat 14 Mac lalu.

"Modus operandi penipuan e-Reporting ini dikesan mula berlaku sekitar pertengahan tahun 2023.

"Terkini, sindiket ini mula membuat panggilan video untuk meyakinkan dan seterusnya memperdaya mangsa untuk membuat bayaran atau pindahan wang," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Ramli berkata, seperti taktik penipuan telefon terdahulu sindiket berkenaan pada mulanya akan menghubungi mangsa dan menyamar sebagai pegawai syarikat kurier dan mencipta pelbagai alasan bagi membuat mangsa berasa panik.

"Pemanggil akan mewujudkan satu situasi yang menjadikan mangsa panik dan menurut semua arahan yang diberikan dan seterusnya, panggilan akan disambungkan kepada pihak 'polis' secara panggilan video.

"Melalui panggilan video ini, mangsa akan diyakinkan untuk membuat laporan polis secara dalam talian (eReporting) dan berinteraksi dengan pegawai polis palsu berlatarkan gambar seolah-olah keadaan di balai polis," katanya.

Menurutnya, mangsa akan berasa selamat apabila melihat latar belakang kononya di pejabat polis dan terus memberikan maklumat yang diminta sehingga berlaku kerugian wang ringgit.

Ramli berkata, portal atau kemudahan e-Reporting berkenaan dibangunkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memudahkan orang awam membuat laporan polis secara dalam talian.

"Kemudahan ini hanya terhad untuk membuat laporan polis berkaitan kehilangan dokumen atau barangan yang tidak berkait

dengan jenayah.

"Pihak polis tidak akan menggunakan panggilan video untuk menerima laporan mahupun menjalankan siasatan.

"Sebarang proses siasatan hanya akan dilakukan secara bersemuka di mana-mana balai polis atau premis milik PDRM," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mac 2024 @ 5:40 PM