RAMLI. FOTO Arkib BERNAMA
RAMLI. FOTO Arkib BERNAMA
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Mangsa sindiket penipuan diminta menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 untuk melaporkan perkara itu.

"Sebaiknya, panggilan itu perlu dibuat dalam tempoh kurang 24 jam bagi memberi peluang melakukan sekatan terhadap wang yang dipindahkan (kepada sindiket)," kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf.

Pada masa sama, menurut Ramli pada kenyataan hari ini, 25 laporan polis diterima berkaitan kes penipuan dengan menyamar sebagai pegawai NSRC membabitkan kerugian RM729,995 sejak Januari lalu sehingga kini.

Ramli berkata, taktik sindiket penipuan itu adalah membuat panggilan kepada mangsa dan memperkenalkan diri sebagai pegawai NSRC.

"Individu itu kemudian mendakwa NSRC akan membatalkan nombor telefon mangsa kerana terdapat aduan kononnya ia menghantar pautan haram serta mesej penipuan.

"Bagi tujuan siasatan, panggilan itu kemudian disambungkan kepada individu lain yang menyamar sebagai pegawai polis.

"Mangsa akan diarahkan mengikut segala arahan sehingga membuat pindahan wang ke akaun bank diberikan," katanya.

Ramli berkata, NSRC hanya menerima panggilan daripada orang ramai untuk melaporkan kes penipuan dan ia berbentuk komunikasi sehala sahaja.

"Sebarang panggilan daripada individu yang mendakwa daripada pihak NSRC adalah satu penipuan.

"NSRC tidak akan membuat panggilan kepada mana-mana individu kerana komunikasi bagi pusat ini adalah sehala," katanya.

"Orang ramai dinasihati supaya tidak mudah panik dan percaya dengan sebarang dakwaan yang diterima melalui panggilan telefon daripada individu tidak dikenali.

"Lakukan semakan dengan agensi berkaitan bagi memastikan kesahihan dakwaan terbabit," katanya lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Disember 2023 @ 4:36 PM