Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Menyamar sebagai pegawai Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) untuk memperdaya mangsa membabitkan kerugian RM729,995.20.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, nilai kerugian itu daripada 25 laporan polis yang diterima sejak Januari lalu.

"Modus operandi digunakan, mangsa menerima panggilan daripada individu mengaku pegawai NSRC yang mahu membatalkan nombor telefon mangsa kononnya terdapat aduan nombor mangsa menghantar pautan haram serta mesej penipuan.

"Bagi tujuan siasatan, panggilan mangsa kemudian disambungkan kepada individu lain yang menyamar pegawai polis.

"Mangsa diminta mengikut arahan diberi sehinggalah mangsa akhirnya membuat pindahan wang ke akaun yang diberikan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ramli berkata, NSRC adalah pusat panggilan berbentuk komunikasi sehala iaitu hanya menerima panggilan orang ramai dan tidak membuat panggilan kepada individu lain.

Justeru, katanya, sebarang panggilan mengaku daripada pihak NSRC adalah satu penipuan.

Beliau meminta orang ramai yang menjadi mangsa segera membuat laporan dengan menghubungi NSRC di talian 997.

"Laporan perlu dibuat dalam tempoh 24 jam supaya peluang untuk membuat sekatan terhadap wang yang dipindahkan lebih tinggi," katanya.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah panik dan percaya dengan panggilan daripada individu tidak dikenali sebaliknya membuat semakan dengan agensi berkaitan bagi memastikan kesahihan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Disember 2023 @ 5:20 PM