Gambar hiasan
Gambar hiasan
Asrol Awang


Kuantan: Lima lagi mangsa, termasuk guru mengalami kerugian berjumlah RM617,051 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan dalam talian.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata berdasarkan laporan semalam, mangsa berumur antara 29 dan 58 tahun.

Menurutnya, mangsa seorang guru lelaki berusia 37 tahun menerima pesanan melalui Whatsapp daripada talian yang tidak dikenali menawarkan kerja sambilan pada akhir Disember lalu.

Katanya, kerja yang ditawarkan itu ialah sebagai penulis ulasan mengenai tempat menarik yang dihantar kepada mangsa melalui pautan Google Map dalam pesanan melalui Whatsapp.

"Mangsa ditawarkan wang sebanyak RM8 untuk setiap ulasan yang diberikan dengan cara mangsa perlu menghantar gambar tangkapan skrin beserta ulasan ke akaun Telegram.

"Selepas selesai menulis lima ulasan mengenai lokasi diterima, mangsa diminta untuk membuat tugasan baru iaitu pembelian Bitcoin dan suspek menjanjikan bayaran komisyen.

"Seterusnya mangsa memasukkan wang secara transaksi ke dalam 13 akaun bank berbeza yang diberikan oleh suspek sehingga mengalami kerugian RM139,364," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ramli berkata, dalam kes lain, seorang lagi mangsa ialah wanita berusia 38 tahun dipelawa oleh rakan kenalan Facebook menyertai pelaburan saham Crypto Market CICC menawarkan keuntungan 28.4 peratus dalam mata wang AS.

"Mangsa membuat transaksi pindahan wang ke 15 pemilik akaun bank berlainan diberikan oleh suspek sebelum menyedari diri ditipu sehingga mengalami kerugian RM154,367," katanya.

Bagi kes ketiga, Ramli berkata, pemandu lori berusia 58 tahun kerugian RM127,800 selepas

dikatakan terbabit dalam sindiket pengedaran dadah.

Katanya, berdasarkan laporan, mangsa dihubungi pegawai polis yang memperkenalkan diri sebagai Inspektor Teo dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang pada 21 Disember lalu.

"Suspek memaklumkan mangsa mempunyai kaitan dengan sindiket pengedaran dadah dan kesemua akaun pengadu akan dibekukan," katanya.

Ramli berkata, kes keempat membabitkan seorang wanita yang bekerja sebagai pembantu khidmat pelanggan yang kerugian RM135,520 selepas menerima panggilan telefon daripada syarikat penghantaran barang.

Katanya, panggilan itu memaklumkan bungkusan yang dikirim oleh mangsa untuk dihantar ke Miri, Sarawak.

"Sekiranya mahu membuat pembatalan, mangsa perlu bercakap dengan pihak polis dan memberi makluman peribadi. Mangsa juga didakwa terbabit dalam kes pemerdagangan manusia dan pengubahan wang haram.

"Mangsa menekan pautan dan memasukkan butiran tiga akaun bank serta kata laluan. Dia menyedari ditipu apabila mendapati wang dalam akaun tiada dan mengalami kerugian RM135,520," katanya

Beliau berkata, kes lima pula membabitkan seorang kontraktor berusia 58 tahun terpedaya

dengan skim pelaburan dinar emas.

Katanya, skim pelaburan di Papua, Indonesia memaklumkan pada bulan pertama, mangsa akan mendapat keuntungan tiga peratus sehari selama sebulan mengikut modal pelaburan.

"Untuk menjadi ahli, mangsa perlu mendaftar di dalam satu laman sesawang atas nama Deet.

"Mangsa membuat empat kali transaksi melalui mesin deposit tunai (CDM) di bank tetapi tidak

mendapat pulangan dan dividen seperti yang dijanjikan menyebabkan kerugian RM60,000," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 January 2023 @ 8:28 PM