Diesel yang di rampas KPDN dalam Ops Tiris 3.0 di Kampung Pulai di sini, semalam. IHSAN KPDN
Diesel yang di rampas KPDN dalam Ops Tiris 3.0 di Kampung Pulai di sini, semalam. IHSAN KPDN
BERNAMA

Gua Musang: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merampas 1,300 liter diesel dengan anggaran nilai sebanyak RM53,755 di Kampung Pulai di sini, semalam.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN Gua Musang Mohd Koma Shapii berkata rampasan terbabit menerusi Ops Tiris 3.0, di sebuah lokasi yang dipercayai menjadi transit simpanan dan agihan barang kawalan tersebut bagi kegunaan pertanian.

Beliau berkata dalam operasi berkenaan, pihaknya juga menahan seorang lelaki dan merampas sebuah kenderaan pacuan empat roda yang membawa minyak terbabit.

"Pada 1 tengah hari semalam, anggota penguat kuasa membuat serbuan ke atas seorang lelaki berusia 28 tahun, yang memindahkan minyak diesel dari tong yang berada di atas kenderaannya jenis Toyota Hilux, ke dalam tong dram di kawasan pertanian lapang di Kampung Pulai.

"Suspek dipercayai pekerja sektor pertanian pada awalnya mengemukakan kebenaran pengawal berbentuk empat permit khas untuk membeli di stesen minyak dan menyimpan minyak diesel bagi kegunaan pertanian syarikatnya, walau bagaimanapun dia menunjukkan maklumat yang tidak tepat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Koma berkata mereka mendapati maklumat permit menunjukkan kebenaran diberikan untuk menjalankan aktiviti tempat di kawasan Merapoh, Pahang, namun minyak diesel sebaliknya dihantar ke Kampung Pulai.

"Susulan itu kesemua barang kawalan yang ditemukan telah disita termasuklah sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux.

"Suspek juga turut ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mac 2024 @ 12:46 PM