KENDERAAN yang menggunakan minyak diesel terutama pacuan empat roda mengambil kesempatan untuk mengisi bahan api berkenaan sebelum harga diesel diapungkan bermula 12 tengah malam. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
KENDERAAN yang menggunakan minyak diesel terutama pacuan empat roda mengambil kesempatan untuk mengisi bahan api berkenaan sebelum harga diesel diapungkan bermula 12 tengah malam. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Kontraktor ditahan di sebuah stesen minyak di Wakaf Aik, Tawang, dekat Bachok, selepas melakukan pembelian diesel menggunakan tong tanpa permit, malam tadi.

Kontraktor berusia 29 tahun itu ditahan 9 malam oleh sepasukan pegawai dan anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang melakukan pemantauan di stesen berkenaan.

Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail berkata, lelaki berkenaan membuat pembelian berkenaan selepas beberapa jam pengumuman pelaksanaan harga diesel tanpa subsidi pada kadar RM3.35 liter yang bermula hari ini.

"Hasil pemantauan kita mendapati kontraktor berkenaan datang ke stesen minyak terbabit menggunakan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.

"Lelaki terbabit membawa 15 tong biru dan ketika tangkapan dibuat, enam tong sudah diisi diesel dengan setiap satu tong mengandungi 25 liter diesel. Pembelian dilakukan menggunakan kad debit.

"Susulan itu kita menahan kontraktor berkenaan kerana melakukan pembelian diesel menggunakan tong tanpa permit atau surat kebenaran sah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan pemantauan di stesen minyak Petronas dan Petron di Pasir Pekan, di sini, tengah malam tadi.

Jelasnya, siasatan mendapati tujuan pembelian diesel berkenaan untuk aktiviti pertanian dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Pada masa sama, Azman berkata, pihaknya turut menyita dokumen stesen berkenaan kerana mengenakan pembelian diesel bersyarat iaitu maksimum RM100 untuk setiap kenderaan.

Katanya, pengusaha stesen berkenaan menggunakan alasan diesel tidak mencukupi.

"Justeru kita menyita dokumen stesen berkenaan untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Jun 2024 @ 7:43 AM