GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang menyita 13 loji yang terdapat di dalam tapak pembinaan berikutan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Sitaan dibuat melalui Operasi Tapak Bina (OTP) dalam pemeriksaan mengejut yang diadakan pada 27 Februari hingga 6 Mac lalu.

Menurut kenyataan JKPP negeri, dalam operasi itu pihaknya memeriksa sebanyak 14 tapak pembinaan seluruh negeri, bagi memastikan tahap pematuhan Akta Kilang dan Jentera 1967 dan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

"Operasi itu juga bertujuan meninjau tahap keberkesanan langkah-langkah pencegahan yang pihak kontraktor dalam memastikan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) di tapak pembinaan yang telah dilawati.

"Pada masa sama, ia lebih menumpukan kepada pengurusan KKP di tapak pembinaan, tanggungjawab Pengurus Projek, penubuhan Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan (JKK), pengurusan kerja-kerja mengangkat dan mengawal selia aktiviti kerja di tempat tinggi serta lubang dan tepian terbuka," katanya di sini, hari ini.

Katanya, sebanyak 49 Notis Larangan serta-merta, 11 Notis Penambahbaikan, 11 Surat Arahan dan 38 cadangan kompaun atas pelbagai kesalahan dan pelanggaran perundangan berdasarkan tumpuan operasi dikeluarkan sepanjang pemeriksaan terbabit.

Dalam pada itu, JKKP negeri berharap dengan adanya operasi itu ia dapat memberikan kesedaran kepada majikan dan pekerja dalam mematuhi kehendak dan peraturan jabatan.

"Ini sekali gus memastikan tempat kerja terutamanya tapak pembinaan berada dalam keadaan selamat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2024 @ 7:19 PM