Foto hiasan
Foto hiasan
Baharom Bakar

Kuala Terengganu: Lima pemaju tapak pembinaan diberi amaran kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 di Terengganu.

Bagaimanapun, Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Terengganu Mohd Zahari Hitam mengesahkan tiada tindakan undang-undang dikenakan terhadap pemaju tapak pembinaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Menurutnya, sebanyak 20 tapak pembinaan di seluruh negeri diperiksa dan hanya lima tapak pembinaan diberikan amaran agar mematuhi SOP pencegahan Covid-19.

"JKKP negeri menggesa kepada semua pihak terutamanya pengusaha di sektor perindustrian supaya memastikan pekerjanya sentiasa mematuhi SOP.

"Walaupun pegawai dan anggota penguat kuasa daripada pelbagai agensi termasuk JKKP tidak membuat lawatan mengejut di premis dan tapak pembinaan tetapi pemantauan tetap dilakukan secara berkala untuk memastikan SOP pencegahan Covid-19 sentiasa dipatuhi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan program dialog Penggalakan Pusat Pengajar Penyelaras Keselamatan Kesihatan Pekerjaan (KKP) di sini, hari ini.

Mohd Zahari berkata, pemaju tapak pembinaan dan pengusaha industri diminta untuk bersama kerajaan dalam usaha membantu menangani penularan pandemik Covid-19, selain memberi penekanan secara berterusan keselamatan dan kesihatan kepada pekerja.

Mengulas mengenai Penggalakan Pusat Pengajar Penyelaras Keselamatan Kesihatan Pekerjaan, Mohd Zahari menjelaskan, hanya 196 pekerja daripada 11,886 syarikat sudah menjalani latihan sebagai pelatih.

Menurutnya, JKKP akan mewujudkan penyedia latihan bagi membolehkan lebih banyak industri kecil dan sederhana (IKS) dapat menghantar pekerjanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 November 2020 @ 9:51 AM