TINJAUAN keadaan di lokasi kejadian ‘gantry launcher’ terjatuh, semalam. FOTO  Eizairi Shamsudin
TINJAUAN keadaan di lokasi kejadian ‘gantry launcher’ terjatuh, semalam. FOTO Eizairi Shamsudin
BERNAMA

Putrajaya: Proses siasatan kes struktur 'gantry launcher' terjatuh di tapak pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) berhampiran Puncak Banyan, Persiaran Alam Damai, Cheras pada Isnin lepas, dijangka dapat dilengkapkan sepenuhnya dalam tempoh sebulan.

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) memaklumkan siasatan membabitkan pemerhatian dan penelitian di lokasi kejadian, mengambil keterangan saksi dan melakukan analisis kejuruteraan forensik bagi melengkapkan proses siasatan.

"Tindakan perundangan lanjut akan diambil berdasarkan kepada hasil siasatan terperinci," menurut JKKP dalam kenyataan, hari ini.

Antara tindakan yang boleh diambil ialah pendakwaan menurut peruntukan Seksyen 15 dan 17 Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, iaitu kewajipan majikan untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerjanya semasa bekerja serta keselamatan dan kesihatan orang selain pekerjanya, yang terjejas akibat aktiviti kerja yang dijalankan.

Penalti maksimum bagi kesalahan di bawah kedua-dua seksyen tersebut ialah denda tidak melebihi RM50,000 atau dua tahun penjara, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan, menurut kenyataan itu.

JKKP memberitahu Notis Larangan yang dikeluarkan oleh JKKP hanya akan dibatalkan setelah majikan mengambil tindakan pembetulan dan langkah kawalan yang komprehensif bagi mengelakkan berlakunya kemalangan.

Kemalangan yang berlaku pada awal pagi Isnin itu mengakibatkan tiga pekerja projek pembinaan maut, manakala seorang pemandu kereta Perodua Bezza cedera parah akibat dihempap struktur kren berkenaan semasa melalui kawasan tersebut.

Pada tahun lalu, JKKP menjalankan 14,786 pemeriksaan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) di sektor pembinaan dan daripada jumlah tersebut sebanyak 5,117 notis, 404 tindakan kompaun dan 73 kes pendakwaan telah dilaksanakan dengan jumlah penalti sekitar RM1.7 juta.

"JKKP memandang serius setiap kemalangan di tempat kerja sama ada melibatkan pekerja mahupun orang awam," menurut kenyataan itu.

JKKP menyatakan majikan mempunyai kawalan dan bertanggungjawab untuk mengenal pasti terlebih dahulu bahaya di tempat kerja, membuat penilaian risiko dan seterusnya mengambil langkah kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja bagi mengurangkan risiko keselamatan dan kesihatan pekerja dan mengelakkan berlakunya kemalangan atau penyakit pekerjaan.

"JKKP akan terus melakukan pemantauan di lapangan termasuk menggunakan aplikasi teknologi terkini serta tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak termasuk pemaju dan kontraktor yang didapati mengabaikan aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan," jelas kenyataan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mac 2021 @ 3:02 PM