BANGUNAN yang runtuh. FOTO arkib NSTP
BANGUNAN yang runtuh. FOTO arkib NSTP
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Pengusaha resort runtuh di Pulau Perhentian yang menyebabkan dua kematian akan didakwa mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) 1994.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) negeri, Mohd Zahari Hitam berkata, pihaknya sedang menunggu laporan siasatan pihak berkuasa termasuk Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

"CIDB juga sedang melakukan siasatan terperinci dan jika didapati ada unsur perlanggaran peraturan atau akta, kes itu akan dibawa ke Mahkamah untuk pendakwaan.

"Kita masih belum tahu punca berlaku runtuhan bangunan yang sedang dalam pembinaan, tetapi perlanggaran peraturan tetap wujud," katanya kepada media, selepas mengiringi Ketua Pengarah JKKP, Ir Mohd Hatta Zakaria merasmikan Seminar Kesihatan Pekerjaan Peringkat Zon Timur, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 9 November lalu, bangunan restoran di pulau peranginan itu yang dalam pembinaan runtuh. Seorang pekerja warga Indonesia ditemukan maut selepas terperangkap lebih 24 jam, manakala seorang lagi pekerja warga Indonesia meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

Mohd Zahari berkata, pengusaha resort berkenaan boleh didakwa atas kesalahan pelanggaran peraturan mengikut Seksyen 15 (1) Akta KKP 1994.

Katanya, jika disabitkan kesalahan, pengusaha resort berkenaan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-dua jika sabit kesalahan.

"Kita dimaklumkan, Majlis Daerah Besut (MDB) sudah mengeluarkan notis sitaan dan sedang dalam proses pendakwaan," katanya.

Berita berkaitan:

Bangunan resort yang runtuh di Pulau Perhentian dibina secara haram

MDB keluarkan 2 notis berhenti kerja sebelum runtuhan bangunan resort

MOHD Hatta (dua kiri) dan Mohd Zahari (kiri) melawat gerai pameran pada program Seminar Kesihatan Pekerjaan Peringkat Zon Timur. FOTO Baharom Bakar
MOHD Hatta (dua kiri) dan Mohd Zahari (kiri) melawat gerai pameran pada program Seminar Kesihatan Pekerjaan Peringkat Zon Timur. FOTO Baharom Bakar

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 November 2023 @ 4:59 PM