FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Pelaporan Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) bagi mata pelajaran di sekolah rendah dalam bentuk peratus dan gred lebih memudahkan guru dan ibu bapa mengenal pasti kemampuan dan kelemahan murid.

Rozita Mohd Diah
Rozita Mohd Diah

Bagi Rozita Mohd Diah, 48, yang mempunyai anak bersekolah di Tahun Satu, dia amat bersetuju dengan pendekatan baharu itu kerana bukan semua ibu bapa dapat mentafsir tahap akademik anak dalam bentuk tahap penguasaan (TP).

Dengan perubahan kepada bentuk peratusan dan gred katanya, lebih memudahkan ibu bapa membuat penilaian tahap akademik anak masing-masing tanpa perlu meminta penjelasan lanjut daripada guru.

"Selama ini kita dibesarkan dengan persekitaran yang membabitkan ujian dan peperiksaan jadi akademik yang dinilai dengan markah dan gred lebih mudah ditafsir secara terus.

"Peratusan dan gred dalam peperiksaan akan lebih menunjukkan peningkatan atau penurunan tahap akademik anak-anak. Ibu bapa mudah faham, anak-anak juga faham. Tak perlu tahap intelektual tinggi untuk mentafsir keputusan sebegini.

"Syabas diucapkan kepada Kementerian Pendidikan (KPM) kerana cakna dengan rintihan ibu bapa yang mahukan penilaian akademik murid lebih mudah dan tidak merumitkan," katanya kepada Harian Metro.

Rozita yang juga tukang jahit mengulas pengumuman Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek semalam mengenai pelaporan UASA dalam bentuk TP 1 hingga 6 kepada peratus dan gred bermula sesi persekolahan ini.

Norhayati Kamih.
Norhayati Kamih.

Suri rumah, Norhayati Kamih, 39, pula berpandangan, pelaporan menggunakan peratus dan gred lebih memudahkan ibu bapa memahami markah yang diperoleh anak.

"Kita sebagai ibu bapa pun boleh tahu kelemahan daripada markah yang anak kita dapat, sebab kalau kaedah TP 1 hingga 6 kadangkala kita pun tak tahu anak lemah yang mana.

"Jadi, saya sokong kaedah TP 1 hingga 6 ditukar kepada peratus dan gred," katanya yang mempunyai anak bersekolah di Tahun Tiga.

Presiden Kongres Kesatuan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres), Juhari Mohamad Nor.
Presiden Kongres Kesatuan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres), Juhari Mohamad Nor.

Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres), Juhari Mohamad Nor berkata, pendekatan itu satu perubahan yang perlu dilakukan segera kerana penggunaan TP antara 1 hingga 6 mengelirukan sehingga sukar mengetahui sejauh mana kelebihan dan kekurangan murid.

"Kalau gunakan peratus atau gred, ia lebih jelas untuk guru membuat penilaian dan ibu bapa dapat mengetahui setakat mana kedudukan prestasi anak mereka berbanding TP yang lebih holistik dan tidak tahu spesifik di mana kekuatan dan kelemahan murid walaupun terdapat sedikit keterangan diberikan.

"Sebelum ini, banyak libat urus membabitkan kesatuan guru yang memberikan pandangan mengenai perkara ini dan syukur KPM prihatin dengan membuat satu tindakan baik demi masa depan anak-anak kita yang berada di sekolah rendah kerana mereka perlukan satu jangkaan prestasi yang baik untuk mereka menyambung pelajaran di peringkat menengah.

"Dengan peratus dan gred, pemilihan murid ke sekolah khusus atau berasrama penuh juga akan lebih tepat dan jelas kerana kita mahu murid terpilih betul-betul layak dan mampu memajukan diri mereka di sekolah berasrama seterusnya menjadi pelapis pemimpin negara kita," katanya.

Semalam, Fadhlina dilaporkan berkata, perubahan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan ibu bapa yang keliru dengan kaedah pelaporan TP.

Sebelum ini katanya, ibu bapa mempersoalkan bagaimana mengukur prestasi pembelajaran anak mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mac 2024 @ 1:27 PM