PBS ini bukanlah satu perkara baharu kerana ia sudah diperkenalkan sejak 2011 di sekolah rendah sebelum diperluaskan di peringkat sekolah menengah setahun kemudian.
PBS ini bukanlah satu perkara baharu kerana ia sudah diperkenalkan sejak 2011 di sekolah rendah sebelum diperluaskan di peringkat sekolah menengah setahun kemudian.
Oleh Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang membabitkan murid tahun empat hingga tingkatan tiga membolehkan guru membuat penilaian yang lebih adil bagi melihat tahap kemampuan diri murid.

Timbalan Pengarah Peperiksaan Kanan, Lembaga Peperiksaan Malaysia (LP), Dr Ibrahim Mohd Zin berkata, menerusi PBS itu terdapat tiga komponen yang ditekankan iaitu Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) dan Pentaksiran Psikometrik (PPsi).

Katanya, PBD membabitkan pentaksiran formatif dan sumatif.

"Formatif ini bermakna pentaksiran dilakukan secara tidak formal iaitu ketika guru adakan kuiz, cara murid menjawab soalan ketika sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP), latihan harian dan tugasan mingguan.

"Bagi sumatif pula, pentaksiran ini dilakukan ketika kuiz, ujian bulanan, peperiksaan pertengahan tahun dan ujian akhir sesi akademik. Secara umumnya, murid ini akan dinilai sejak hari pertama persekolahan.

"Kemudian barulah kita lihat kepada ujian pertengahan tahun serta ujian akhir sesi akademik.

"Tahap penguasaan formatif dan sumatif ini berbeza iaitu formatif lebih tertumpu kepada perasaan, pemikiran dan tingkah laku murid sebaliknya sumatif mengukur elemen kognitif murid iaitu apa yang dipelajari oleh murid sepanjang sesi akademik," katanya ketika sesi Taklimat PBS diadakan di LP di sini, baru-baru ini.

Ibrahim berkata, PBS ini bukanlah satu perkara baharu kerana ia sudah diperkenalkan sejak 2011 di sekolah rendah sebelum diperluaskan di peringkat sekolah menengah setahun kemudian.

Berikutan pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) mulai 2021 dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) mulai 2022, KPM akan memberi tumpuan kepada pemerkasaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Sektor Dasar Pentaksiran di LP, Rohesan Muhamad berkata, daripada segi pelaporan, murid itu tidak lagi diberikan gred A, B atau C sebaliknya akan diberikan Tahap Penguasaan (TP) satu sehingga enam.

"Contohnya ketika sesi PdP dijalankan iaitu formatif, guru itu membuka topik mengenai pen dan ajar apa kegunaan, bagaimana nak gunakannya dan kemudian guru itu bertanyakan soalan kepada murid terbabit untuk membuat pentaksiran.

"Murid pertama menjawab yang gurunya pegang itu adalah sebatang pen, maka murid ini sudah mendapat TP 1 iaitu dia tahu apa yang dipegang. Kemudian murid kedua menjawab, ini pen dan ia digunakan untuk menulis, melukis dan menandatangani dokumen dan ia dinilai dengan TP 2 kerana dia tahu serta faham kegunaan barangan berkenaan.

"Pelaporan TP 3 akan diberikan kepada murid sekiranya dia tahu, faham dan boleh menunjukan contoh bagaimana untuk menggunakan pen itu dan ia akan diteruskan sehingga TP 6 di mana murid ini boleh menguasai dan jelaskan atau memberi tunjuk ajar kepada rakannya," katanya.

Menjelaskan mengenai ujian akhir sesi akademik, Rohesan berkata, ia sepenuhnya akan dilakukan secara bertulis dan dan tidak membabitkan sebarang kerja kursus atau projek.

"Ujian akhir sesi akademik ini akan menguji kognitif murid, bukannya psikomotor atau efektif. Bagi ujian akhir sesi akademik Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan menyediakan soalan yang setara standardnya dan pencapaian murid akan diukur mengikut tahun semasa.

"Jika murid itu berada di tingkatan satu maka semua sukatan pelajarannya adalah berkaitan dengan tahap berkenaan. Berbeza dengan sebelum ini, ketika PT3, murid ini akan diuji dengan sukatan pembelajaran yang mereka belajar dari tingkatan satu hingga tiga.

"Bagaimanapun soalan yang diterima oleh setiap sekolah tidak akan sama namun setara, soalan itu akan dimuat turun menerusi sistem sedia ada menggunakan ID dan kata laluan yang kita berikan," katanya.

Bagi pelaporan markah dalam ujian pula, Rohesan berkata, selepas guru berkenaan menanda kertas soalan, markah itu perlu dimasukkan dalam sistem pelaporan.

"Contohnya guru ini memberi markah sebanyak 65 peratus kepada murid berkenaan, kemudian sistem itu akan menetapkan murid berkenaan berada pada TP yang mana," katanya.

Rohesan berkata, ibu bapa tidak seharusnya risau dengan pelaksanaan PBS berkenaan kerana ia sudah melihat murid itu secara holistik mengikut kemampuan masing-masing.

"Ibu bapa jangan melihat kepada akademik sahaja, dalam PBS ini ada sukan, psikometrik dan sebagainya. Ada yang murid tidak hebat dalam pelajaran, tetapi mempunyai kekuatan pada sukan atau seni.

"Sebab itu dalam PBS ini kita ada PPsi atau ujian psikometrik untuk melihat kecenderungan murid itu daripada setiap aspek termasuk kerjaya yang bersesuaian dengannya.

"Menjadikan ibu bapa tertekan kerana mereka terlalu melihat kepada kejayaan akademik murid, ini tidak betul kerana kita nilai murid itu daripada pelbagai aspek," katanya.

Selain itu, Rohesan yakin PBS yang dinilai oleh guru ini adalah adil dan tidak berat sebelah kerana sebelum pemarkahan itu dibuat, guru yang menilai itu perlu berbincang dengan guru yang lain.

"Kita mahu mengiktiraf profesion guru ini, mereka ini mendapat diploma atau ijazah dalam bidang pendidikan jadi kita perlu percaya dengan kewibawaan mereka kerana kita berada disini pun disebabkan guru, pandai membaca, pandai menulis semuanya disebabkan oleh guru.

"Tempoh yang diberikan untuk pentaksiran ini panjang, jadi guru ini boleh berbincang dengan guru lain mengenai TP murid di kelas, sekiranya ada guru yang tidak berpuas hati dengan TP yang diberikan, mereka boleh berbincang sehingga mendapat kata sepakat.

"Bukannya autonomi diberikan kepada guru kelas sahaja untuk menilai murid berkenaan. Dalam PBS ini, bukan hanya cikgu yang membuat taksiran, tetapi rakan dan ibu bapa juga akan memainkan peranan," katanya.

 Ibrahim.
Ibrahim.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Oktober 2022 @ 7:03 AM