GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Suraya Roslan


Selayang: Pemilik sebuah stesen minyak di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan menjual petrol bersubsidi kepada kenderaan asing, awal Januari lalu.

Mohammad Naziruddin Abu Hassan, 61, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nor Rajjah Mat Zin.

Susulan pengakuan itu, pihak pendakwaan memohon satu tarikh baharu untuk sebutan fakta kes dan hukuman.

Mengikut pertuduhan, Mohammad Naziruddin selaku pemegang lesen runcit barang kawalan berjadual iaitu petrol dan diesel gagal untuk mematuhi Arahan

Pengawal Bekalan iaitu menjual petrol RON 95 sebanyak 48.78 liter kepada sebuah kenderaan bernombor pendaftaran dari Thailand.

Kesalahan itu dilakukan di stesen minyak di R&R di Lebuhraya Utara Selatan arah utara pada jam 9.16 pagi, 1 Januari 2024.

Perbuatan itu melanggar Peraturan 12A Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang menjadi satu kesalahan di bawah Peraturan 21(1) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122).

Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjara bagi tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Fatimah Hannah Abd Wahab bersama Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor, Nor Wahidah Muhammad, manakala Mohammad Naziruddin diwakili peguam Muhammad Syahmi Akif Jamili.

Mahkamah menetapkan 26 April ini untuk jatuh hukum.

Sebelum ini, media melaporkan video tular di laman X memaparkan dua individu mengisi petrol bersubsidi yang menimbulkan pelbagai reaksi negatif netizen, yang mempertikaikan tindakan warga asing semakin berani melanggar peraturan ditetapkan Kerajaan Malaysia.

Susulan video tular itu, KPDN Selangor menjalankan siasatan terhadap sebuah stesen minyak di Rawang yang menjual petrol bersubsidi kepada warga asing, baru-baru.

Dilaporkan, hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati lelaki disyaki warga Thailand membayar RM100 di kaunter bayaran untuk membeli petrol itu dan semakan pada resit jualan mendapati kereta itu mengisi minyak RON 95 sebanyak 48.8 liter.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2024 @ 1:24 PM