GAMBAR tular kereta dari negara jiran yang mengisi RON95 di sebuah stesen minyak di Masjid Tanah. FOTO tular
GAMBAR tular kereta dari negara jiran yang mengisi RON95 di sebuah stesen minyak di Masjid Tanah. FOTO tular
Amir Mamat


Alor Gajah: Sebuah stesen minyak di sini diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka selepas pengusahanya didapati menjual petrol bersubsidi RON95 kepada kenderaan bernombor pendaftaran asing.

Pengarah KPDN negeri, Norena Jaafar berkata, tindakan itu dibuat selepas pihaknya mengesan rakaman tular di media sosial pada 16 Jun lalu yang mencetus pelbagai reaksi negatif dalam kalangan netizen.

Beliau berkata, video tular itu memperlihatkan seorang individu yang menaiki kenderaan bernombor pendaftaran dipercayai dari negara jiran mengisi petrol bersubsidi.

"Susulan itu sepasukan penguat kuasa KPDN ke stesen terbabit hari ini bagi menjalankan siasatan lanjut dan hasilnya kita mengesyaki terdapat satu kesalahan dibuat oleh pengusaha premis itu.

"Kesalahan disyaki dibuat jam 4.35 petang Ahad lalu, dan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati seorang lelaki disyaki warga asing membayar RM23.17 melalui transaksi 'outdoor payment terminal' (OTP) iaitu pembayaran melalui kad prabayar untuk membeli minyak berkenaan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Norena berkata, perbuatan itu sekali gus melanggar Peraturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang menjadi satu kesalahan di bawah Peraturan 21(1).

"Kesalahan ini boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) yang mana jika didapati bersalah pengusaha stesen minyak bakal berdepan hukuman denda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

"Tindakan kes dibuat selaras dengan arahan yang dikuatkuasakan pada 17 Jun 2022 yang membabitkan larangan penjualan petrol RON95 kepada semua kenderaan bernombor pendaftaran asing," katanya.

Katanya, KPDN Melaka tidak sesekali akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan membabitkan larangan penjualan petrol bersubsidi kepada kenderaan bernombor pendaftaran asing.

"KPDN Melaka memberi amaran keras kepada semua pengusaha stesen minyak di negeri ini supaya mematuhi semua arahan dan undang-undang yang sedang berkuat kuasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2024 @ 4:51 PM