GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Suraya Roslan


Selayang: Pemilik stesen minyak di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menjual petrol RON95 yang bersubsidi kepada warga asing.

Hakim Nor Rajiah Mat Zin menjatuhkan hukuman denda itu terhadap Mohammad Naziruddin Abu Hassan, 61, selepas lelaki itu selaku Orang Kena Saman (OKS) kekal mengaku bersalah atas pertuduhan terbabit.

Mahkamah juga mengarahkan OKS dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, Mohammad Naziruddin selaku pemegang lesen runcit barang kawalan berjadual iaitu petrol dan diesel gagal mematuhi Arahan Pengawal Bekalan iaitu menjual barang kawalan berjadual petrol RON95 sebanyak 48.78 liter kepada sebuah kenderaan bernombor pendaftaran asing dari Thailand.

Kesalahan dilakukan di sebuah premis stesen minyak di R&R Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara pada jam 9.16 pagi, 1 Januari lalu.

Tindakan itu melanggar Peraturan 12A Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang menjadi satu kesalahan di bawah Peraturan 21(1) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122).

Jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjara bagi tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Fatimah Hannah Abd Wahab bersama Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor Nor Wahidah Muhammad, manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Syahmi Akif Jamili.

Sebelum ini, media melaporkan, satu rakaman tular di laman X memaparkan dua individu mengisi petrol bersubsidi yang menimbulkan pelbagai reaksi negatif netizen yang mempertikaikan tindakan warga asing yang semakin berani melanggar peraturan.

Berdasarkan video tular itu, KPDN Selangor menjalankan siasatan terhadap sebuah stesen minyak di Rawang yang menjual petrol bersubsidi kepada warga asing.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2024 @ 12:47 PM