DATUK Seri Alexander Nanta Linggi menunjukkan poster Ron95 untuk kenderaan bernombor pendaftaran Malaysia dalam lawatannya di sebuah stesen minyak di Jalan Lingkaran Dalam di sini. FOTO Omar Ahmad
DATUK Seri Alexander Nanta Linggi menunjukkan poster Ron95 untuk kenderaan bernombor pendaftaran Malaysia dalam lawatannya di sebuah stesen minyak di Jalan Lingkaran Dalam di sini. FOTO Omar Ahmad
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membuka sembilan kertas siasatan terhadap pengusaha stesen minyak berikutan penjualan petrol bersubsidi RON95 kepada kenderaan asing dari Singapura.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, siasatan itu dilakukan susulan 18 aduan diterima sejak pembukaan sempadan negara bermula 1 April lalu.

"Pada peringkat awal pembukaan sempadan tular di media sosial dan aplikasi WhatsApp mengenai kenderaan dengan nombor pendaftaran asing khususnya dari Singapura mengisi petrol bersubsidi RON95.

"Susulan itu, sebanyak 18 aduan diterima daripada orang awam berhubung perkara ini dan daripada jumlah itu, sebanyak sembilan kertas dibuka untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1971.

"Sembilan pengusaha stesen minyak di negeri ini sudah dipanggil KPDNHEP Johor untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.

"Siasatan juga merangkumi percakapan daripada pekerja dan rakaman kamera litar tertutup ( CCTV)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melakukan lawatan di Stesen Minyak Petronas di Jalan Lingkaran Dalam di sini, hari ini.

Mengulas lawatan kerjanya di negeri itu, Alexander berkata, ia bagi melihat pelaksanaan penguatkuasaan larangan jualan RON95 kepada kenderaan bernombor pendaftaran asing.

"Oleh itu, kita akan laksana serta-merta di seluruh negara bukan negeri bersempadan sahaja tapi seluruh negara dilarang bagi kenderaan asing menggunakan RON95," katanya.

Dalam pada itu, Alexander berkata, penguatkuasaan dan pemantauan terhadap isu kenderaan asing mengisi petrol bersubsidi ini turut akan sentiasa dipertingkatkan dengan Op Samar.

Menurutnya, anggota penguat kuasa akan memakai pakaian biasa sekali gus membuat penyamaran bagi mengesan pemandu asing yang menggunakan minyak RON95.

Beliau menasihatkan pengusaha stesen minyak mematuhi peraturan ditetapkan dengan tidak menjual petrol bersubsidi kepada kenderaan termasuk motosikal bernombor pendaftaran asing.

"Kehadiran warga asing terutama dari Singapura amat dialu- alukan, namun kerajaan harap mereka dapat mendisiplinkan diri tidak mengisi petrol bersubsidi RON95. Begitu juga pengusaha stesen minyak, diharap bantu kawal isu ini.

"Tindakan tegas akan dikenakan kepada pengusaha stesen minyak yang menjual petrol bersubsidi kepada kenderaan termasuk motosikal bernombor pendaftaran asing mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961(Akta 122) dan (Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974).

"Akta itu memperuntukkan penalti tidak melebihi RM1 juta atau hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-dua sekali terhadap individu manakala perbadanan atau syarikat berdepan denda tidak melebihi RM2 juta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 April 2022 @ 2:42 PM