PHAN Chin Chan mengaku bersalah menjual petrol bersubsidi kepada kenderaan bernombor pendaftaran asing di Mahkamah Sesyen Johor Bahru di sini hari ini. FOTO Mary Victoria Dass.
PHAN Chin Chan mengaku bersalah menjual petrol bersubsidi kepada kenderaan bernombor pendaftaran asing di Mahkamah Sesyen Johor Bahru di sini hari ini. FOTO Mary Victoria Dass.
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Padah menjual petrol bersubsidi kepada kenderaan bernombor pendaftaran asing, seorang pengusaha stesen minyak di bandar raya ini dijatuhi hukuman denda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru di sini hari ini.

Tertuduh, Phan Chib Chan, 59, dijatuhi hukuman berkenaan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan membenarkan pengisian petrol RON95 kepada kenderaan bernombor pendaftaran asing pada empat tahun lalu.

Ia adalah kes pertama membabitkan pemilik stesen didakwa atas kesalahan terbabit.

Phan mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Mandarin di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didapati gagal mematuhi arahan bahawa kenderaan bernombor pendaftaran asing tidak dibenarkan membuat pengisian petrol RON95.

Lelaki itu didakwa melakukan kesalahan tersebut pada jam 10.40 pagi di premis beralamat 13-A, Jalan Tun Abdul Razak Susur 4 pada 13 Mei 2019.

Perbuatan itu melanggar Peraturan 12A Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang menjadi satu kesalahan di bawah Peraturan 21(1) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122).

Jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjara bagi tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Mengikut fakta kes, tertuduh membenarkan pengisian petrol sebanyak 54 liter bernilai RM113.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Muhamad Sabiq Muhamad Subri dan Raja Nor Ikhlas Raja Ariff manakala OKS diwakili peguam, Lim Chon Sim.

Dalam penghujahannya, Muhamad Sabiq menyatakan bahawa tertuduh pernah dikenakan tindakan kompaun dua kali sebelum ini atas kesalahan sama.

Manakala Hakim menjatuhkan hukuman denda RM40,000 atau lima bulan penjara kepada pemilik stesen minyak itu sebagai pengajaran kepadanya serta pemain industri yang lain.

"Ketirisan subsidi ini dengan bantuan pengusaha stesen minyak menyebabkan kerugian pada negara.

"Hujahan pendakwaan menyatakan pada 2019 kerajaan membelanjakan RM2 bilion untuk subsidi.

"Kejadian itu menyebabkan kerugian besar pada negara dan rakyat Malaysia.

"Oleh itu, sebagai pengajaran kepada kamu dan pemain industri yang lain, supaya tidak melakukan kesalahan sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mac 2023 @ 12:11 PM