Aizat Sharif

Padang Besar: Kenderaan pendaftaran asing kini dilarang mengisi diesel bersubsidi di seluruh stesen minyak di Perlis mulai hari ini.

Sebelum ini, hanya petrol RON 95 bersubsidi yang dilarang penjualannya kepada kenderaan asing manakala penjualan diesel bersubsidi pula hanya dihadkan kepada 20 liter sahaja.

Timbalan Ketua Pengarah Penguatkuasa (Operasi) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Shamsul Nizam Khalil berkata, larangan berkenaan dilaksanakan berikutan rentetan isu kenderaan berpendaftaran asing terutama dari Thailand yang dilihat kerap berulang alik ke stesen petrol di Perlis terutamanya yang berhampiran sempadan Malaysia-Thailand.

"Mereka (kenderaan pendaftaran asing) berbuat demikian bertujuan mengisi petrol atau diesel sebelum diseludup ke negara jiran menggunakan tangki yang diubahsuai.

"Bagi membendung perkara ini daripada terus berlaku, kita mengambil langkah proaktif dengan menggunakan advokasi selama 14 hari bermula hari ini kepada kesemua 40 pengusaha stesen minyak.

"Ia termasuk dua stesen minyak tanpa subsidi di negeri ini bermula 27 Januari tahun ini dengan memberi penerangan berhubung arahan larangan penjualan diesel bersubsidi termasuk petrol RON95 kepada kenderaan berpendaftaran asing termasuk motosikal di seluruh Perlis," katanya.

Menurutnya, tahun lalu pihaknya berjaya membanteras lima kes dan tiga daripadanya sudah didakwa di mahkamah membabitkan penyeludupan petrol dan diesel bersubsidi ke luar negara jiran.

"Selain pengusaha stesen minyak, advokasi turut diberikan terhadap pemilik kenderaan berpendaftaran asing termasuk motosikal di setiap laluan pintu masuk negara di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQs) Padang Besar dan Pos Imigresen Wang Kelian denga mengedarkan 250 notis amaran," katanya.

SHAMSUL (dua dari kanan) menerangkan sesuatu terhadap pemandu kereta tempatan terhadap penguatkuasaan larangan jualan petrol dan diesel bersubsidi kepada kenderaan asing di sebuah stesen petrol di Titi Tinggi, Padang Besar. FOTO AIZAT SHARIF
SHAMSUL (dua dari kanan) menerangkan sesuatu terhadap pemandu kereta tempatan terhadap penguatkuasaan larangan jualan petrol dan diesel bersubsidi kepada kenderaan asing di sebuah stesen petrol di Titi Tinggi, Padang Besar. FOTO AIZAT SHARIF

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan dan lawatan advokasi terhadap larangan penjualan petrol dan diesel bersubsidi kepada kenderaan berpendaftaran asing di sebuah stesen petrol di Titi Tinggi, di sini hari ini.

Katanya, sebagai langkah alternatif kenderaan berpendaftaran asing ini boleh membeli petrol RON97 tanpa had selain petrol RON95 dan diesel di dua stesen petrol tidak bersubsidi yang berada di Kawasan Perindustrian Kampung Kolam di Padang Besar dan Wang Kelian.

"Kita sudah pun mengadakan dialog secara bersemuka dengan setiap pengusaha stesen petrol di Perlis mengenai arahan ini.

"Perlis adalah negeri perintis kepada arahan ini berikutan isu penyeludupan petrol dan diesel bersubsidi ini yang sering berlaku di negeri ini," katanya.

Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan akan diambil mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kepada mereka yang melanggar arahan yang dikeluarkan setelah tamat tempoh advokasi itu.

Terdahulu, beliau bersama Ketua Setiausaha KPDN, Datuk Azman Mohd Yusof merasmikan stesen petrol itu disamping melaksanakan proses advokasi larangan berkenaan terhadap pengusaha stesen minyak berkenaan.

Turut hadir adalah Pengarah KPDN Perlis, Norazah Jaapar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Februari 2023 @ 5:40 PM