PEGAWAI penguat kuasa DBKL memasang notis penutupan premis. FOTO Ihsan DBKL
PEGAWAI penguat kuasa DBKL memasang notis penutupan premis. FOTO Ihsan DBKL
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Tiga premis hiburan yang beroperasi di Jalan Dutamas di sini, dikenakan tindakan penutupan serta-merta kerana beroperasi tanpa lesen dan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), semalam.

Arahan penutupan itu susulan serbuan dilakukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), pada 10.30 malam.

Pengarah Jabatan Penguat kuasa DBKL Osman Ismail berkata, operasi disertai empat pegawai dan 18 anggota selepas menerima maklumat awam dan menjalankan risikan.

"DBKL menyerbu dua premis hiburan di kawasan premis perniagaan berkenaan yang didapati menjalankan aktiviti hiburan tanpa lesen.

"Dalam serbuan itu, pelbagai peralatan muzik disita dan pengusaha diberikan notis mengikut Seksyen 4 (1)(a) dan 4 (1)(b) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 1992 serta premis diarah tutup," katanya dalam kenyataan hari ini.

Osman berkata, sebuah lagi premis turut diarah tutup kerana gagal mematuhi SOP mengikut Seksyen 18(1) Akta Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Katanya, tindakan penguatkuasaan khas itu dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang DBKL dan SOP PKPB.

Sebelum ini, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan kelab malam, pub dan pusat karaoke hiburan kekal dilarang beroperasi sejak PKP dilaksanakan pada 18 Mac tahun lalu.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mac 2021 @ 5:03 PM