ANTARA 10 premis dikendali warga asing diarah tutup serta merta dalam Ops Tebah. FOTO DBKL
ANTARA 10 premis dikendali warga asing diarah tutup serta merta dalam Ops Tebah. FOTO DBKL
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil

Kuala Lumpur: Sebanyak 10 premis dikendalikan warga asing diarah tutup serta merta dalam operasi bersepadu, Ops Tebah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sebuah pusat beli belah di Chow Kit, di sini semalam.

DBKL dalam kenyataan hari ini berkata, operasi dijalankan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

"Sebanyak 14 premis membabitkan kedai menjual pakaian, beg, aksesori telefon bimbit, peralatan komputer, rokok elektronik (vape) dan aktiviti lain di periksa.

"DBKL menutup serta merta 10 premis dikendalikan oleh warga asing di bawah Seksyen 101(1)(v) Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan mengeluarkan 16 notis kompaun," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, antara kesalahan termasuk berniaga tanpa lesen, pekerja warga asing dan melanggar syarat lesen dibawah Undang-undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016, dan Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Katanya, seramai 38 pekerja dan pengendali premis warga asing diperiksa yang mana sembilan daripadanya ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.

"Sembilan pekerja warga asing dari Bangladesh dan Pakistan ditahan oleh JIM kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri menerusi kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

"KPDN mengeluarkan 11 notis kompaun terhadap pengendali premis termasuk untuk tindakan lanjut (Kertas Siasatan) di bawah kesalahan Akta Cap Dagangan 2019," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Jun 2023 @ 11:53 AM