SPRM tahan reman seorang pengarah syarikat disyaki terlibat dengan tuntutan palsu di Sabah berjumlah hampir RM1 juta di Mahkamah Majistret Putrajaya .FOTO Ihsan SPRM
SPRM tahan reman seorang pengarah syarikat disyaki terlibat dengan tuntutan palsu di Sabah berjumlah hampir RM1 juta di Mahkamah Majistret Putrajaya .FOTO Ihsan SPRM
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Pengarah syarikat ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terbabit tuntutan palsu berjumlah hampir RM1 juta.

Sumber berkata, lelaki berusia 50-an terbabit ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya di sini, pada jam 7.30 malam tadi.

"Suspek disyaki terbabit dalam tuntutan palsu yang dilakukan pada 2021 membabitkan kerja penyelenggaraan stor minyak dan bilik penginapan di Kota Belud, Sabah, berjumlah lebih RM490,000.

"Suspek juga dipercayai membuat tuntutan palsu kerja penyelenggaraan stor minyak, pemasangan paip dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berjumlah lebih RM470,000 di Lahad Datu sedangkan kerja itu tidak dilaksanakan," katanya.

Katanya, suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk permohonan reman hari ini.

Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan suspek direman empat hari sehingga Sabtu ini.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek.

Beliau berkata, siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2024 @ 1:24 PM