PENGARAH urusan syarikat (kiri) dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya. FOTO ihsan SPRM
PENGARAH urusan syarikat (kiri) dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya. FOTO ihsan SPRM
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Pengarah urusan syarikat bergelar Datuk ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki terbabit dalam mengemukakan tuntutan palsu.

Ia membabitkan tuntutan bernilai kira-kira RM7 juta bagi projek pembinaan sebuah bangunan di Terengganu dengan nilai keseluruhan berjumlah lebih RM100 juta.

Permohonan reman terhadap suspek lelaki berusia 54 tahun itu dibuat di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini.

Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan suspek direman selama tiga hari bermula hari ini sehingga 15 September nanti.

Menurut sumber, suspek lelaki itu yang dipercayai mengemukakan tuntutan sejak 2020 hingga Mei lalu ditahan di pejabatnya di Shah Alam, Selangor, semalam.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan kes itu disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 September 2022 @ 3:44 PM