Bekas penolong pegawai tadbir APBM Port Dickson diiringi anggota SPRM ke Mahkamah Majistret Port Dickson kerana disyaki menerima suapan berjumlah RM800 daripada pengarah sebuah syarikat pelancongan. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Bekas penolong pegawai tadbir APBM Port Dickson diiringi anggota SPRM ke Mahkamah Majistret Port Dickson kerana disyaki menerima suapan berjumlah RM800 daripada pengarah sebuah syarikat pelancongan. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Raja Noraina Raja Rahim


BEKAS penolong pegawai tadbir Akademi Pembangunan Belia Malaysia (APBM) Port Dickson ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menerima suapan berjumlah RM800 daripada pengarah sebuah syarikat pelancongan.

Wanita berusia 32 tahun terbabit menerima suapan itu sebagai dorongan memperakukan baucer bayaran Program Pemantapan Organisasi APBM 2016.

Difahamkan, bayaran itu dimasukkan ke dalam akaun bank milik suspek.

Suspek ditahan pada 3.35 petang semalam, selepas hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Port Dickson.

Suspek kemudian dibawa ke Mahkamah Majistret Port Dickson, hari ini, dan mendapat perintah reman selama lima hari sehingga Sabtu bagi membantu siasatan mengikut Akta SPRM 2009.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Siti Khairiah Abdul Razak selepas permohonan dibuat Pegawai Pendakwa SPRM Mohd Fadzlin Mohd Salleh.

Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan Ramli Ismail mengesahkan penahanan wanita terbabit dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Pada 28 September lalu, SPRM menahan seorang pembantu tadbir APBM Port Dickson kerana dipercayai membuat tuntutan palsu berjumlah RM1,800 pada November tahun lalu bagi tujuan sewaan bas sedangkan urus niaga itu tidak wujud.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Oktober 2017 @ 2:17 PM