FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Seorang pengarah syarikat ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini, selepas disyaki mengemukakan dokumen palsu bagi mendapatkan kerja perkhidmatan pembersihan dan penyelenggaraan landskap berjumlah RM170,000.

Sumber berkata, lelaki berusia 30-an terbabit ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Selangor pada 3.30 petang.

"Suspek disyaki mengemukakan penyata bank yang mengandungi butir matan palsu bagi mendapatkan kerja perkhidmatan pembersihan dan penyelenggaraan landskap sebuah bangunan berjumlah lebih RM170,000.

"Dokumen terbabit dikemukakan sebagai memenuhi syarat penilaian kewangan ketika menyertai perolehan secara sebut harga pada tahun 2019," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek.

Beliau berkata, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam bagi mendapatkan perintah reman pagi esok.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Oktober 2023 @ 8:51 PM