FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan seorang pengarah syarikat kerana dipercayai mengemukakan dokumen palsu kepada sebuah kementerian di Putrajaya.

Ia disyaki bagi urusan proses tuntutan pembayaran balik subsidi minyak masak sawit tulen berjumlah lebih RM25,000.

Menurut sumber, wanita berusia 47 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Johor Bahru, jam 2 petang tadi, selepas hadir memberikan keterangan.

Difahamkan, suspek mengemukakan dokumen palsu berbentuk invois dengan menggunakan nama syarikat lain kepada kementerian terbabit bagi proses tuntutan sepanjang 2019.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru, esok, bagi mendapatkan permohonan reman.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 January 2022 @ 4:10 PM