GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka menahan dua ketua jabatan persekutuan di negeri ini dan seorang pengarah syarikat kerana disyaki terbabit membuat tuntutan palsu berkaitan program anjuran jabatan serta tuntutan palsu berkaitan perpindahan pada tahun lalu.

Ketua jabatan masing-masing seorang lelaki dan wanita dikatakan menggunakan invois bagi tuntutan palsu pembayaran program jabatan pada 2023 berjumlah kira-kira RM24,900.

Sumber berkata, suspek lelaki dipercayai perancang utama dan berpakat dengan pemilik syarikat untuk menggunakan invois yang mengandungi butir palsu iaitu tuntutan pembekalan yang tidak pernah dilaksanakan bagi program berkenaan.

Sementara itu, suspek wanita didakwa membuat tuntutan palsu berkaitan perpindahan berjumlah RM6,000 kepada jabatannya.

"Suspek masing-masing berusia awal 40-an itu ditahan di Pejabat SPRM Melaka 2.30 petang hari ini ketika hadir memberi keterangan," katanya.

Pengarah SPRM Melaka, Mohd Shahril Che Saad ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek.

"Suspek akan dibawa ke mahkamah esok untuk mendapatkan perintah permohonan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Februari 2024 @ 4:06 PM